AM

GSF2.0: 10 RAKYAT MALAYSIA DI ISTANBUL STABIL, MISI GELOMBANG KEDUA DIPERGIAT

04/05/2026 06:07 PM

SEPANG, 4 Mei (Bernama) -- Sepuluh rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF) yang diculik tentera Israel di perairan antarabangsa kini dalam keadaan stabil di Istanbul, Turkiye dan dijangka terus terlibat dalam misi kemanusiaan gelombang kedua yang sedang disusun semula.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata mereka telah menjalani pemeriksaan kesihatan sejurus tiba di Turkiye dan disahkan tidak mengalami kecederaan serius walaupun diculik pada tengah malam ketika dalam pelayaran menuju Gaza.

“Setakat ini kita sahkan mereka stabil, masih bersemangat dan tidak pulang ke Malaysia kerana perjuangan ini akan diteruskan. Kita akan berikan tugasan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sani Araby berkata pihak misi sedang menilai langkah seterusnya termasuk menggabungkan kekuatan flotila dari Greece dan Turkiye bagi meneruskan pelayaran dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau berkata tiga daripada 21 kapal yang ditahan secara haram pada 30 April berjaya ditunda oleh kapal Open Arms dari Barcelona selepas ditemukan dalam keadaan yang sangat teruk.

“Satu kapal (Goleta) disahkan karam diyakini akibat sabotaj pihak rejim manakala 17 lagi masih di lautan dan sedang dalam usaha untuk ditunda,” katanya.

Sani Araby berkata pihaknya juga sedang menyusun semula aset logistik termasuk kapal bagi menempatkan semula kumpulan aktivis tersebut.

“Dengan 17 kapal masih belum ditunda dan sebahagiannya rosak akibat sabotaj, usaha ini bukan mudah. Namun kita sudah bersedia dengan pelbagai kemungkinan sejak misi bermula dari Barcelona,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata daripada 175 individu yang diculik, terdapat laporan sebahagian mangsa dipukul dan dicabuli dengan 31 daripadanya memerlukan rawatan hospital.

“SNCC mengecam pencabulan tahanan ke atas dua aktivis yang merupakan jawatankuasa induk GSF, iaitu Saif Abukeshek dan Thiago Ávila. Pihak rejim menculik dan menahan mereka lebih 96 jam di Penjara Shikma, Ashkelon,” katanya.

Beliau berkata SNCC menegaskan dua aktivis itu berhak mendapat perbicaraan yang adil serta perlu dibebaskan segera tanpa sebarang syarat.

Sani Araby berkata SNCC hari ini melancarkan pengiraan detik atau countdown tujuh hari sebagai sebahagian daripada gelombang kedua #BreakTheSilent dan #BreakTheSiege untuk seluruh negara bangkit bersatu dan menggandakan usaha untuk menguatkan desakan ke arah pembebasan Gaza.

“Dalam tempoh ini, kita akan mempertingkatkan usaha dan pada bila-bila masa kita boleh umumkan pelayaran seterusnya,” katanya.

Beliau berkata misi itu turut mendapat sokongan pelbagai pihak antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sani Araby berkata SNCC menyeru rakyat Malaysia terus bersuara menyokong pembebasan Palestin melalui pelbagai platform termasuk media sosial selain memastikan penyebaran maklumat dibuat berasaskan sumber sahih dan berautoriti.

Selain itu, beliau menggesa orang ramai melaksanakan solat hajat serta Qunut Nazilah sebagai tanda solidariti terhadap misi kemanusiaan itu.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan