JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI MEMANDU DI BAWAH PENGARUH DADAH DIREMAN TUJUH HARI

05/05/2026 12:17 PM

ALOR GAJAH, 5 Mei (Bernama) -- Seorang pemandu van persiaran yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengakibatkan tiga individu termasuk dua kanak-kanak cedera di Kilometer 212 Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) arah selatan, di sini semalam, direman tujuh hari.

Hakim Mahkamah Sesyen Alor Gajah Kamarul Aris Kamalluddin mengeluarkan perintah reman hingga 11 Mei terhadap lelaki berumur 55 tahun itu yang disyaki memandu di bawah pengaruh dadah sintetik.

Perintah reman terbabit bertujuan membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Semalam, sebuah van persiaran yang membawa lapan penumpang warga India dari arah Kuala Lumpur ke Melaka, terbabas di bahu jalan di Kilometer 212 Lebuhraya Utara–Selatan arah selatan, mengakibatkan seorang lelaki berusia 52 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan dan 13 tahun cedera.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

Saringan awal air kencing terhadap pemandu van itu mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan