KAHERAH, 4 Mei (Bernama-Anadolu) -- Mesir mengalami kerugian kira-kira US$10 bilion daripada kutipan hasil Terusan Suez susulan serangan terhadap perkapalan di Selat Bab al-Mandab akibat perang Gaza, kata Presiden Abdel Fattah al-Sisi pada Isnin.
Ketika berucap dalam pertemuan di Kaherah dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) Mathias Cormann, Sisi berkata serangan berterusan ke atas kapal di Selat Bab al-Mandab iaitu laluan maritim penting yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden mengurangkan secara ketara trafik kapal menuju ke Terusan Suez, menurut kenyataan pihak presiden.
Selat Bab al-Mandab adalah antara laluan perkapalan paling strategik di dunia bagi bekalan tenaga dan makanan, selain Terusan Suez dan Selat Hormuz.
Serangan terhadap kapal bermula pada November 2023 apabila Kumpulan Houthi dari Yaman melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas kapal di Laut Merah sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin yang berdepan serangan Israel di Gaza, yang mengorbankan lebih 72,000 nyawa sejak Oktober 2023.
Serangan menyebabkan penurunan mendadak jumlah kapal yang melalui terusan itu, yang merupakan antara sumber utama pertukaran asing Mesir.
Menurut Ketua Pihak Berkuasa Terusan Suez Osama Rabie, hasil terusan itu merosot sebanyak 66 peratus pada 2024 kepada US$3.9 bilion berbanding kira-kira US$10.2 bilion pada 2023.
Pada 12 April, Kumpulan Houthi memberi amaran akan meningkatkan serangan di Laut Merah sekiranya serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran disambung semula.
Ketegangan serantau meningkat selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Feb, yang mencetuskan tindak balas dari Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di rantau Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.
Gencatan senjata selama dua minggu diumumkan pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, diikuti rundingan langsung di Islamabad pada 11 April, namun tiada persetujuan dicapai untuk gencatan senjata berkekalan.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, kemudian melanjutkan gencatan senjata itu tanpa menetapkan tempoh baharu, susulan permintaan dari Pakistan.
-- BERNAMA-ANADOLU
