DUNIA

RINGGIT DITUTUP KEBANYAKANNYA KUKUH BERBANDING MATA WANG UTAMA, UNIT SERANTAU

05/05/2026 08:49 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Ringgit ditutup kebanyakannya kukuh berbanding mata wang utama dan unit serantau namun rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM).

Keputusan MPC BNM menerusi mesyuarat Khamis ini dijangka berperanan penting dalam menentukan hala tuju pasaran selepas ini.

Pada 6 petang, ringgit turun berbanding dolar Amerika Syarikat kepada 3.9600/9635 daripada 3.9540/9575 ketika ditutup semalam.

Menurut firma penyelidikan, MPC BNM dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Jangkaan itu adalah berdasarkan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) awalan Malaysia bagi suku pertama 2026 pada 5.3 peratus, yang menunjukkan ekonomi negara kekal berdaya tahan walaupun situasi global tidak menentu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pihaknya menjangkakan mata wang tempatan didagangkan dalam jajaran kecil bagi tempoh terdekat selepas mesyuarat MPC pada 7 Mei ini.

“Kami berpandangan sentimen pasaran kekal waspada kerana pelabur masih bingung sama ada kadar faedah penanda aras bank-bank pusat utama dunia akan dinaikkan atau diturunkan.

“Ada bidang kuasa tertentu seperti di Australia, Filipina dan Singapura yang telah mengetatkan pendirian dasar monetari masing-masing. Pada masa sama, terdapat juga kebimbangan yang munasabah terhadap prospek pertumbuhan global yang mungkin memerlukan pelonggaran dasar monetari,” katanya kepada Bernama.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata aliran masuk ekuiti yang berterusan ke dalam sektor teknologi dan semikonduktor Malaysia telah meningkatkan aset tempatan sekali gus menyokong ringgit.

Beliau berkata minat pelabur yang berkait rapat dengan kecerdasan buatan (AI) telah menyediakan penampan asas kepada aset tempatan.

“Bagaimanapun, peningkatan semula konflik Amerika Syarikat-Iran telah melemahkan sentimen risiko dan mengukuhkan dolar AS, selain mendorong harga minyak mentah Brent menghampiri US$114 setong buat tempoh seketika.

“Secara keseluruhan, ringgit masih dipengaruhi oleh faktor luaran termasuk turun naik ketara harga minyak dan kekukuhan dolar AS, namun ringgit terus menunjukkan daya tahan yang dipacu oleh aliran ekuiti domestik,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan, ringgit kebanyakannya mencatatkan prestasi tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5138/5163 daripada 2.5186/5210 ketika ditutup semalam, dan lebih stabil berbanding euro kepada 4.6288/6329 daripada 4.6329/6370.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding pound British kepada 5.3622/3670 daripada 5.3612/3660.

Ringgit juga kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara rakan serantau.

Mata wang tempatan naik sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1013/1042 daripada 3.1019/1049 ketika ditutup semalam, dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1064/1223 daripada 12.1460/1631.

Ringgit lebih stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 227.2/227.5 daripada 227.3/227.6 semalam namun susut berbanding peso Filipina kepada 6.43/6.44 daripada 6.42/6.43.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan