AM

JOHOR PULIH SEBAHAGIAN BESAR PROJEK INFRASTRUKTUR ALAMI KELEWATAN MELALUI INTERVENSI BERFASA

05/05/2026 03:12 PM

ISKANDAR PUTERI, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor berjaya memulihkan sebahagian besar projek infrastruktur yang mengalami kelewatan melalui intervensi strategik dan tindakan pemulihan berfasa bagi tempoh 2022 hingga 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata daripada 200 projek peringkat Persekutuan, sebanyak 51 projek dikenal pasti lewat, manakala 20 daripada 124 projek peringkat negeri turut merekodkan status yang sama.

Beliau berkata hasil tindakan proaktif itu menyaksikan beberapa projek kritikal siap sepenuhnya termasuk penambahbaikan jajaran laluan FT001 Johor Bahru-Ayer Hitam di Kulai pada 2023 dan pembinaan laluan baharu di Jalan Kampung Rahmat, Batu Pahat pada 2024.

“Bagi 2025, projek menaik taraf jalan kepada empat lorong dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya (Johor Bahru) sepanjang 2.2 kilometer juga telah berjaya disiapkan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ee Chin Li (DAP-Tangkak) yang ingin tahu sama ada Kerajaan Negeri Johor bersedia menyenaraikan secara terbuka projek gagal atau lewat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Mengenai status “projek sakit” yang ditamatkan sebelum ini, Mohamad Fazli menjelaskan beberapa projek kini berada pada fasa akhir pelaksanaan oleh kontraktor penyelamat dan dijangka siap sepenuhnya dalam tahun ini.

Kesemua projek itu melibatkan pembinaan jambatan konkrit di Jalan Gelang Patah-Pendas di sini, penggantian jambatan Kampung Sawah di Pontian serta penggantian jambatan di Sungai Machap di Kluang, selain projek di Kampung Perigi Acheh di Pasir Gudang yang dijangka siap pada 2027.

Beliau berkata kerajaan negeri kini mengambil pendekatan lebih tegas dan berstruktur termasuk menamatkan kontrak kontraktor yang gagal, melaksanakan tender semula, mengenakan denda ganti rugi tertentu dan ditetapkan (LAD) serta penahanan bayaran kemajuan.

“Sekiranya kelewatan semakin serius, jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca serta merangka langkah penyelesaian berkesan bagi memastikan kepentingan rakyat tidak terjejas,” katanya.

Sebagai langkah penambahbaikan masa hadapan, beliau berkata tadbir urus akan diperkukuh dengan memastikan isu utiliti dan status tanah diselesaikan sepenuhnya sebelum Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan, selain memperketat penilaian keupayaan kontraktor.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan