KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek merakamkan ucapan tahniah kepada Dr Velerie Wheelervon Primus yang dinobat sebagai pemenang Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2026 bagi rantau Asia Tenggara dan Pasifik.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fadhlina menyifatkan kejayaan itu sebagai satu kebanggaan kepada warga pendidik Malaysia dan mengiktiraf usaha berterusan Velerie dalam memperkasakan pendidikan inklusif di Sabah.
“Sekali lagi Dr Velerie Wheelervon Primus membanggakan seluruh warga pendidikan dan negara. Kali ini beliau dinobatkan sebagai pemenang rantau Asia Tenggara dan Pasifik bagi Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2026,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman melawat Sekolah Kebangsaan Bingkor di Sabah sebelum ini dan menyaksikan sendiri dedikasi Velerie dalam memartabatkan pendidikan bagi murid berkeperluan khas.
“Tahniah Dr Velerie! Terima kasih kerana menginspirasikan kami semua,” katanya.
Menurut Cambridge International Education, Velerie yang berkhidmat sebagai Penolong Kanan dan Guru Pendidikan Khas diiktiraf atas sumbangan beliau dalam memperkasakan pendidikan murid neurodivergen serta pembangunan pendekatan pembelajaran inklusif di kawasan luar bandar.
Beliau antara sembilan pemenang serantau global bagi anugerah berkenaan yang mengiktiraf guru cemerlang dari seluruh dunia atas sumbangan mereka dalam pendidikan dan kesejahteraan murid.
Sebelum ini, Velerie diangkat sebagai pemenang Malaysia Teacher Prize 2024 atas usaha beliau memperjuangkan pendidikan khas dan inovasi pembelajaran inklusif di Sabah.
--BERNAMA
