EKONOMI

MOMENTUM PERTUMBUHAN MALAYSIA BERTERUSAN PADA SUKU PERTAMA 2026 DI SEBALIK RISIKO LUARAN - BNM

07/05/2026 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Penunjuk ekonomi Malaysia yang terkini menunjukkan momentum pertumbuhan yang berterusan pada suku pertama 2026, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan pertumbuhan eksport yang kukuh, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat dalam kenyataan hari memaklumkan, pada masa hadapan, ketidakpastian berhubung tempoh dan keseriusan konflik Asia Barat akan mempengaruhi prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri. 

“Bagaimanapun, asas-asas Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara manakala guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan,” menurut bank pusat.

Menurut BNM, sektor luaran akan mendapat manfaat daripada eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh manakala perbelanjaan pelancong akan berterusan meskipun pada kadar yang lebih sederhana.

 “Prospek pertumbuhan ini kekal tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan berikutan konflik yang berlarutan di Asia Barat dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah.

“Sementara itu, potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada konflik yang mereda, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat,” menurut bank pusat.

Pada 2025, ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi yang kukuh, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.2 peratus untuk sepanjang tahun dan meningkat kepada 6.3 peratus pada suku keempat 2025.

BNM sebelum ini melaporkan ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang antara empat peratus dan lima peratus pada 2026, dengan daya tahan domestik negara dan struktur eksport yang pelbagai terus menyediakan penampan untuk berdepan cabaran luaran semasa, terutama daripada konflik di Asia Barat.

Sementara itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.6 peratus dan 2.1 peratus pada suku pertama 2026.

Bank pusat memaklumkan harga komoditi global yang lebih tinggi akibat konflik Asia Barat dijangka meningkatkan tekanan kos dalam negeri yang menyebabkan inflasi meningkat sedikit.

 “Bagaimanapun, kesan konflik terhadap inflasi keseluruhan dan inflasi teras pada 2026 dijangka kekal terkawal, mencerminkan langkah-langkah dasar dalam negeri dan keadaan permintaan yang stabil, yang akan mengurangkan pindahan tekanan kos luaran kepada harga dalam negeri.

“Jawatankuasa Dasar Monetari BNM mengambil maklum ketidakpastian berikutan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat, dengan kesannya terhadap ekonomi global dan ekonomi Malaysia akan bergantung pada perkembangan hal ini,” menurutnya.

Prestasi KDNK Malaysia bagi suku pertama 2026 akan diumumkan pada 15 Mei 2026.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan