PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Badan Peguam untuk mencabar keputusan pendakwaan yang memberhentikan prosiding selanjutnya terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Faizah Jamaludin, bersama-sama Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin memutuskan bahawa permohonan Badan Peguam itu bukanlah sesuatu yang remeh, namun menimbulkan isu yang boleh dibicarakan yang wajar didengar pada peringkat substantif.
"Kes ini sesuatu yang wajar, jarang berlaku dan luar biasa yang memerlukan semakan kehakiman penuh. Kebenaran diberikan kepada perayu untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara yang dipertikaikan. Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 diketepikan.
"Kes ini juga akan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran substantif semakan kehakiman. Tiada perintah mengenai kos," kata Hakim Faizah dalam keputusan sebulat suara di sini.
Pada 27 Jun 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman atas alasan perkara itu tidak memenuhi syarat ambang bagi semakan kehakiman. Badan Peguam kemudian memfailkan rayuan.
Hakim Faizah menegaskan bahawa kes itu wajar, jarang berlaku dan luar biasa kerana beberapa faktor penting telah tertumpu, termasuk keseriusan pertuduhan dan kepentingan awam yang tinggi dalam pendakwaan rasuah.
"Antara faktornya termasuklah dapatan prima facie selepas penilaian maksimum, panggilan pihak pembelaan, tahap prosiding yang telah dijalankan – melibatkan 99 saksi pendakwaan sepanjang 53 hari perbicaraan dan 15 saksi pembelaan – selain masa dan jumlah representasi yang dikemukakan, serta kemuktamadan praktikal daripada penghentian prosiding itu.
"Memandangkan perintah melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) oleh mahkamah jenayah ialah akibat prosedur daripada keputusan Peguam Negara yang dipertikai, perayu tidak mencabar perintah mahkamah jenayah yang memberikan DNAA.
"Yang dicabar ialah punca eksekutif perintah itu, iaitu keputusan Peguam Negara untuk menghentikan pendakwaan terhadap responden (Ahmad Zahid) berhubung pertuduhan terbabit dan memohon DNAA.
"Sehubungan dengan itu, kami mendapati permohonan perayu untuk semakan kehakiman bukanlah satu serangan kolateral terhadap perintah mahkamah jenayah yang memberikan DNAA bagi kesemua 47 pertuduhan terhadap responden," katanya.
Badan Peguam mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 Sept 2023, untuk memberikan DNAA kepada Ahmad Zahid bagi 47 pertuduhan melibatkan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Badan itu turut memohon perisytiharan mahkamah bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Persekutuan) adalah tidak sah dan dibuat melangkaui bidang kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara.
Mahkamah sebelum ini memutuskan untuk memberikan DNAA selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa Peguam Negara mahu menghentikan prosiding bagi meneliti bukti baharu.
-- BERNAMA
