JENAYAH & MAHKAMAH

BEKAS SUAMI JAHIDAH DITUDUH LAGI DI MAHKAMAH

07/05/2026 02:10 PM

SUNGAI PETANI, 7 Mei (Bernama) -- Bekas suami Jahidah Nordin yang dijatuhi hukuman penjara 14 tahun kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya pada Isnin lepas, dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lagi isterinya, baru-baru ini.

Rosmaini Abdul Raof, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nurfitri Moktar, 39, dengan menggunakan kerusi plastik dan getah paip di sebuah rumah di Bandar Amanjaya di sini pada 5 petang, 29 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Nurfitri dengan menggunakan penyangkut baju dan besi penyangkut langsir di tempat sama pada 9 pagi, 23 April lepas.

Kedua-kedua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat, yang dibaca bersama Seksyen 326A KK, jika sabit kesalahan. 

Hukuman bagi Seksyen 326A KK memperuntukkan jika kesalahan tersebut dilakukan terhadap pasangan, hendaklah dihukum dengan penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi kesalahan di bawah Seksyen 326 KK walau apa pun apa-apa hukuman lain yang diberikan kesalahan itu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ruzana Abdul Rahim.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada jaminan ditawarkan memandangkan tertuduh sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita yang juga penjawat awam cedera di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan mangsa yang hamil 12 minggu mengalami keguguran.

Suspek disahkan lelaki sama yang didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah, 46, yang ketika itu hamil 10 minggu dengan memukul kepala, muka dan tangan mangsa serta menendangnya di Larkin, Johor pada 2021.

Pada 4 Mei lepas, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara maksimum 14 tahun terhadap Rosmaini kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas isterinya yang ketika kejadian itu mengandung, sehingga berada dalam koma sejak lima tahun lepas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan