AM

UDA BERI DISKAUN SEWA, MORATORIUM BANTU PMKS - SIM

07/05/2026 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- UDA Holdings Berhad (UDA) melaksanakan tiga inisiatif utama merangkumi pemberian diskaun sewa hingga 20 peratus, moratorium dan bantuan kos utiliti bagi membantu peniaga yang menjalankan perniagaan di kompleks beli-belah dan bangunan komersial di bawah milikan serta seliaan UDA berikutan krisis bekalan global.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata pemberian diskaun itu melibatkan pelaksanaan secara bersasar berdasarkan dua kategori pelaksanaan, iaitu 10 peratus kepada semua penyewa dan tambahan diskaun 10 peratus secara bersasar kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui Program Insentif Usahawan UDA bermula Mei hingga Disember ini.

Beliau berkata UDA juga melaksanakan moratorium sebagai langkah sokongan kepada aliran tunai PMKS melalui pembayaran sewa bulanan yang lebih fleksibel, termasuk kebenaran tunggakan sewa hingga tiga bulan kepada penyewa yang terjejas berdasarkan penilaian prestasi dan keperluan operasi.

Selain itu, bantuan kos utiliti (Utility Cost Relief), iaitu pengurangan kos operasi PMKS secara tidak langsung melalui penangguhan kenaikan caj perkhidmatan operasi kompleks dengan UDA akan menanggung kos kenaikan berkenaan.

“UDA dijangka menanggung kos sebanyak RM12.5 juta untuk melaksanakan segala bantuan ini kepada peniaga dan usahawan PMKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kadar sewa premis perniagaan milik semua agensi kerajaan Persekutuan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan UDA diturunkan mulai bulan ini bagi membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi.     

Anwar berkata langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan dalam membantu peniaga dan penjaja yang turut terkesan akibat krisis bekalan global ketika ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan