AM

PULAU PINANG KEKALKAN KADAR SEWA PREMIS PBT - EXCO

07/05/2026 04:24 PM

GEORGE TOWN, 7 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang akan mengekalkan kadar sewa sedia ada bagi premis perniagaan di bawah seliaan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri, iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye berkata kadar sewa itu dikekalkan buat masa ini memandangkan ia berpatutan dan lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa.

“Kadar sewa bulanan di bawah MBPP bagi gerai di pasar awam adalah antara RM6 hingga RM330, manakala kompleks makanan antara RM8 hingga RM800.

“Bagi MBSP pula, kadar sewa gerai di pasar awam adalah antara RM33 hingga RM300, manakala kompleks makanan antara RM36 hingga RM330,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri bagaimanapun menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar PBT serta agensi berkaitan mempertimbangkan penurunan kadar sewa premis perniagaan bagi membantu peniaga kecil yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup dan kos operasi semasa.

H’ng berkata PBT juga akan terus meneliti dan mengkaji saranan itu dari semasa ke semasa berdasarkan kedudukan kewangan serta keupayaan semasa PBT.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri sentiasa mengambil pendekatan prihatin dan proaktif dalam menetapkan kadar sewa premis perniagaan di bawah seliaan PBT dengan memastikan kadar yang dikenakan kekal berpatutan, dan lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa, serta tertakluk kepada keluasan, fasiliti dan lokaliti premis perniagaan.

H’ng berkata konflik geopolitik yang berpanjangan di Timur Tengah turut memberi kesan rantaian kepada ekonomi global termasuk peningkatan harga minyak mentah dan kos logistik yang menjejaskan operasi PBT di negeri itu.

Beliau berkata kenaikan harga diesel pada pasaran antarabangsa menyebabkan perbelanjaan operasi PBT meningkat secara mendadak, khususnya melibatkan penggunaan kenderaan berat untuk kerja pembersihan awam, kutipan sisa pepejal, penyelenggaraan pokok dan pelbagai perkhidmatan perbandaran lain.

“Peningkatan kos operasi ini merupakan perbelanjaan luar jangka yang memberikan tekanan kepada kedudukan kewangan semasa PBT, serta melebihi peruntukan bajet bagi 2026 dengan perbelanjaan diesel oleh kedua-dua PBT juga dijangka meningkat antara 15 hingga 20 peratus tahun ini,” katanya.

Beliau berkata walaupun berdepan peningkatan kos operasi, impak kewangan itu tidak akan dipindahkan kepada peniaga kecil melalui peningkatan kadar sewa premis di bawah seliaan PBT demi melindungi kelangsungan perniagaan mereka yang turut berdepan dengan peningkatan kos operasi semasa.

Selasa lepas, Anwar mengarahkan kadar sewa premis perniagaan milik semua agensi kerajaan Persekutuan diturunkan mulai bulan ini bagi membantu peniaga kecil mengurangkan kos operasi, selain turut menyeru semua PBT di seluruh negara supaya mengambil pendekatan sama

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan