AM

KPKM PERCEPAT USAHA PERKUKUH RANTAIAN BEKALAN MAKANAN NEGARA - MOHAMAD

08/05/2026 05:00 PM

TASEK GELUGOR, 8 Mei (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) giat memperkukuh usaha jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan asas susulan ketidaktentuan geopolitik global yang boleh menjejaskan kos dan rantaian bekalan negara. 

Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya menyasarkan 30 peratus keperluan jagung bijian negara dapat dihasilkan secara tempatan menjelang 2030 termasuk melalui pembangunan lebih 2,000 hektar tanaman di Perlis yang akan dilancarkan bulan ini. 

Beliau berkata KPKM turut memperluas penanaman bawang secara besar-besaran melibatkan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan agensi berkaitan, dengan sasaran menampung 30 peratus bekalan bawang tempatan dalam tempoh empat tahun akan datang.

Malaysia ketika ini, katanya, bergantung hampir 100 peratus kepada import jagung dan soya, yang menjadi antara faktor utama mempengaruhi harga ayam dan telur sekiranya berlaku kenaikan harga di pasaran antarabangsa.

“Makanan ternakan seperti jagung dan soya masih banyak bergantung kepada import. Apabila harga dunia naik, kos penternak kita pun naik. Bila minyak naik, kos nelayan keluar laut pun naik. Bila baja naik, kos petani pun naik.

"Walaupun puncanya di luar kawalan kita, kerajaan tidak boleh lepas tangan. Kerajaan mesti bekerja, bersedia dan pastikan bekalan makanan cukup," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Kampung Guar Petai, di sini, hari ini.

Mohamad berkata setakat ini harga makanan utama termasuk ayam, telur dan beras masih terkawal, namun kerajaan akan terus memantau keadaan termasuk kemungkinan manipulasi harga sekiranya kos import meningkat.

Dari segi bekalan makanan utama negara, beliau berkata ia masih stabil dengan stok penimbal beras negara berada sekitar 300,000 tan manakala bekalan ayam dan telur juga berada pada tahap sara diri yang baik.

Sementara itu, mengulas dakwaan pesawah mengenai peningkatan kos penanaman padi, Mohamad berkata kementerian itu sentiasa mengambil kira pandangan golongan tersebut termasuk berkaitan kos pembajakan dan input pertanian.

Katanya, kerajaan sebelum ini telah meluluskan bantuan RM200 bagi kerja awal pembajakan untuk membantu mengurangkan beban pesawah. 

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan