DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH DIDORONG AKTIVITI PENGAMBILAN UNTUNG

08/05/2026 06:40 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan lima hari berturut-turut untuk ditutup rendah pada Jumaat susulan aktiviti pengambilan untung, seiring prestasi lemah pasaran global apabila perkembangan ketenteraan baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menjejaskan selera risiko pelabur, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.79 mata atau 0.61 peratus ke paras terendah intra hari 1,748.06 berbanding paras penutup 1,758.85 pada Khamis.

Indeks penanda aras itu yang dibuka rendah 0.78 mata pada 1,758.07, mencecah paras tertinggi harian 1,760.19 pada awal dagangan sebelum berdepan tekanan jualan pada sesi akhir dagangan.

Sentimen pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 708 berbanding 451, manakala 586 kaunter tidak berubah, 907 tidak diniagakan dan sembilan digantung dagangan.

Jumlah dagangan susut kepada 3.31 bilion unit bernilai RM3.00 bilion berbanding 3.78 bilion unit bernilai RM4.24 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bursa serantau menjejaki penyusutan Wall Street selepas laporan bahawa tentera AS memintas serangan terhadap tiga kapal perang di Selat Hormuz, sekali gus memudarkan harapan terhadap potensi kejayaan rundingan damai.

“Di peringkat domestik, kami berhati-hati terhadap sentimen pasaran yang semakin lemah ketika pelabur terus memantau rapat perkembangan di Asia Barat. 

“Ketegangan yang kembali memuncak mencetuskan semula kebimbangan mengenai gangguan bekalan global dan kenaikan harga minyak, yang boleh menjejaskan keyakinan pasaran secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ketua Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata para pelabur mengambil untung hari ini susulan pemulihan kukuh pasaran baru-baru ini yang melepasi paras 1,750 mata.

Beliau berkata penurunan itu sebahagian besarnya didorong kaunter berkaitan telekomunikasi dan infrastruktur yang sebelum ini mencatat kenaikan kukuh pada awal minggu ini.

“Kelemahan hari ini dilihat lebih bersifat teknikal dan didorong pelarasan kedudukan jangka pendek, bukannya disebabkan kemerosotan asas ekonomi, dengan sentimen keseluruhan masih disokong selera risiko global yang kekal berdaya tahan serta keadaan makroekonomi domestik yang stabil,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut lapan sen kepada RM11.18, Public Bank turun satu sen kepada RM4.88 dan CIMB Group merosot 11 sen kepada RM7.93, manakala Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM14.82 dan IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM8.89.

Bagi saham aktif, Top Glove meningkat empat sen kepada 76 sen, Zetrix AI dan pendatang baharu Pasaran ACE, Inspace Creation masing-masing naik setengah sen kepada 87 sen dan 25.5 sen, Tanco Holdings menambah satu sen kepada RM1.66 dan Hartalega meningkat lima sen kepada RM1.23.

Antara kaunter untung utama, Hong Leong Industries melonjak 96 sen kepada RM19.16, Petronas Dagangan meningkat 50 sen kepada RM21.06, IOI Properties naik 33 sen kepada RM4.48 dan TIME dotCom menokok 21 sen kepada RM6.35.

Kaunter rugi utama pula termasuk Nestle (M) yang merosot RM1.50 kepada RM102.60, UMS Integration susut 29 sen kepada RM7.08, United Plantations turun 24 sen kepada RM30.80 dan SD Guthrie kehilangan 14 sen kepada RM6.06.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 50.50 mata kepada 12,930.23, Indeks FBMT 100 turun 54.21 mata kepada 12,772.53, Indeks FBM Emas Syariah merosot 24.82 mata kepada 12,838.31 dan Indeks FBM ACE menjunam 54.42 mata kepada 4,611.32, manakala Indeks FBM Mid 70 meningkat 27.13 mata kepada 18,484.22.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 99.62 mata kepada 20,373.81 dan Indeks Perladangan turun 99.36 mata kepada 8,838.41.

Bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.23 mata kepada 194.65 manakala Indeks Tenaga menambah 0.45 mata kepada 812.32.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.73 bilion unit bernilai RM2.72 bilion daripada 2.11 bilion unit bernilai RM3.92 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran mengecil kepada 1.18 bilion unit bernilai RM152.99 juta berbanding 1.24 bilion unit bernilai RM172.75 juta sebelum ini.

 Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 392.80 juta unit bernilai RM132.83 juta daripada 419.93 juta unit bernilai RM147.55 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 225.62 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (276.12 juta), pembinaan (159.03 juta), teknologi (237.32 juta), perkhidmatan kewangan (63.03 juta), hartanah (220.77 juta), perladangan (27.84 juta), amanah pelaburan hartanah (20.12 juta), dana tertutup (26,600), tenaga (102.33 juta), penjagaan kesihatan (257.28 juta), telekomunikasi dan media (56.46 juta), pengangkutan dan logistik (33.23 juta), utiliti (53.93 juta) serta amanah perniagaan (sifar).

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan