BANGI, 10 Mei (Bernama) -- Cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia bukan bermaksud mekanisme sedia ada tidak berkesan, sebaliknya bagi menangani persepsi rakyat terhadap ketelusan proses aduan dalaman, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata mekanisme sedia ada, iaitu Biro Pengaduan Awam (BPA) tidak semestinya gagal, namun kerana berada dalam struktur pentadbiran kerajaan, maka mendorong kewujudan persepsi dalam kalangan rakyat terhadap ketelusan serta hasil sesuatu aduan.
"Saya tak kata (BPA) tak berkesan. Masalahnya bila mekanisme Itu dalaman, kadang-kadang banyak orang persoalkan 'outcome'. Mungkin orang nak lapor pun orang fikir dua tiga kali.
"Ombudsman ini ia akan pisahkan Biro Pengaduan Awam daripada agensi kerajaan. Ia akan menjadi sebuah agensi bebas. Satu badan yang bebas," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Town Hall Kerangka Akauntabiliti MADANI 2026, di sini hari ini.
Azalina berkata langkah itu penting bagi mengelakkan keraguan dalam kalangan masyarakat untuk membuat aduan, selain memastikan setiap laporan salah laku diteliti secara serius tanpa unsur berat sebelah.
“Tujuan utama ombudsmen adalah supaya kita memisahkannya daripada institusi kerajaan agar keyakinan ada pada rakyat dan aduan akan diambil serius,” katanya.
Terdahulu pada sesi soal jawab bersama peserta town hall, Azalina berkata Ombudsman bukanlah badan penguatkuasaan, sebaliknya hanya menerima aduan, menjalankan siasatan dan membuat syor kepada lembaga tatatertib agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata syor berkenaan juga akan dibentangkan kepada Parlimen sebagai sebahagian daripada proses semak dan imbang institusi.
“Contohnya seperti IPCC (Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis) dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka mempunyai mekanisme seperti mini ombudsman. Jadi mereka menjalankan siasatan sendiri. Perkara yang sama bagi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).
“Jadi semua ini adalah perkara yang perlu kita selesaikan sebelum kita memuktamadkan bagaimana kita mahu pelaksanaan ombudsman itu dibuat. Namun, apa yang paling penting, saya sentiasa percaya di negara kita, kaedah terbaik untuk melakukan sesuatu adalah secara berperingkat,” katanya.
Mengenai penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI), Azalina berkata ia akan menjadi antara reformasi penting dalam memperkukuh budaya keterbukaan kerajaan serta memastikan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat lebih terjamin.
Beliau berkata usaha itu selaras dengan keperluan semasa untuk meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran awam, khususnya dalam aspek penyampaian maklumat kepada rakyat.
“Bayangkan jika anda menulis (surat) kepada jabatan kerajaan, tetapi berbulan-bulan surat itu tidak dijawab. Inilah sebabnya FOI (kebebasan maklumat) diperlukan, kerana anda perlu menjawab soalan itu,” katanya.
Pada 18 Nov lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia dan penggubalan FOI sedang dalam proses libat urus dan dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen 2026.
Tinjauan di portal rasmi Parlimen Malaysia mendapati Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 bagi persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 16 hari bermula 22 Jun hingga 16 Julai ini.
-- BERNAMA
