KAHERAH, 10 Mei (Bernama-WAM) -- Liga Arab menggesa institusi media serta hak asasi manusia antarabangsa dan serantau untuk mempergiat usaha bagi menjamin keselamatan wartawan Palestin serta memelihara hak mereka untuk bekerja secara bebas dan selamat.
Gesaan itu turut menekankan agar tindakan menyasarkan dan mengganggu pengamal media dihentikan, selain menamatkan pemusnahan infrastruktur media serta penguatkuasaan langkah-langkah sekatan terhadap mereka.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad sempena Hari Solidariti Antarabangsa bersama Media Palestin, Liga Arab menyatakan bahawa sambutan itu menyerlahkan risiko yang semakin meningkat dihadapi organisasi media Palestin berikutan dasar pelampau Israel yang berterusan.
Selain itu, ia turut menarik perhatian kepada pencabulan serius yang menyasarkan wartawan dan institusi media Palestin, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Penolong Setiausaha Agung merangkap Ketua Sektor Media dan Komunikasi Liga Arab, Duta Ahmed Rashid Khattabi berkata wilayah Palestin kini menjadi antara kawasan paling berbahaya bagi pengamal profesion kewartawanan.
Khattabi juga menyatakan aspirasi sektor media dan komunikasi untuk bekerjasama dengan negara anggota serta organisasi bertaraf pemerhati dalam Majlis Menteri-Menteri Penerangan Arab bagi menyediakan sokongan teknikal dan profesional kepada media serta kewartawanan Palestin, dengan penyelarasan Kementerian Penerangan Palestin.
Beliau turut memuji inisiatif terbaharu untuk mewujudkan dana bebas yang bertujuan memberikan sokongan mampan kepada media Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, di samping memperkukuh keupayaan profesional dalam mendepani cabaran semasa.
-- BERNAMA-WAM
