AM

MASA DEPAN DEMOKRASI MALAYSIA TURUT BERGANTUNG KEPADA KEBAJIKAN PENGAMAL MEDIA - LAPORAN CIJ

10/05/2026 06:36 PM

SUBANG JAYA, 10 Mei (Bernama) -- Kemampanan landskap demokrasi Malaysia serta usaha reformasi media turut bergantung kepada keselamatan di tempat kerja dan ekonomi pengamal media, menurut satu laporan baharu oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Dapatan itu dibentangkan dalam Laporan Tahunan CIJ terbaharu, The Price of Truth: Economic Rights of Journalists in Malaysia, yang dilancarkan hari ini bersempena dengan Festival Solidariti Media 2026.

Festival itu anjuran bersama CIJ, Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Majlis Media Malaysia bagi memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.

Pengarah Eksekutif CIJ Wathshlah G. Naidu berkata laporan itu menyentuh mengenai tekanan ekonomi yang semakin meningkat dihadapi wartawan dan pekerja media, dan menekankan bahawa perbincangan mengenai kebebasan media perlu merangkumi isu ganjaran yang adil serta persekitaran tempat kerja yang memuaskan.

“Pada 2026, tidak sewajarnya masih timbul persoalan mengapa seorang wartawan dengan pengalaman 20 tahun hanya menerima RM2,000 atau RM3,000. Kita sepatutnya tidak lagi bercakap tentang gaji atau standard minimum, sebaliknya aspek asasnya sewajarnya lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada perasmian festival itu, di sini.

Mengulas mengenai situasi pekerja bebas dan wartawan sambilan, Wathshlah berkata kebanyakan daripada mereka mempunyai pendapatan yang tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup bukan sahaja di Lembah Klang tetapi juga di kawasan lain di negara ini. 

Beliau berkata kebebasan media tidak boleh dipisahkan daripada persekitaran tugasan di bilik berita, sambil memberikan amaran bahawa proses demokrasi akan menjadi lemah apabila wartawan tertakluk kepada terma pekerjaan yang tidak selamat dan tidak adil.

Laporan itu turut memberikan perhatian kepada kebimbangan mengenai pemilikan media, yang disifatkan sebagai “media capture” oleh pihak berkepentingan, sekali gus boleh membentuk naratif dan melemahkan kebebasan editorial.

“Ia menjadi peringatan dan ‘wake-up call’ kepada kita apabila kita mula meneliti siapa yang memiliki media di Malaysia. Bukannya kita tidak tahu, tetapi apabila ditulis, ia mengingatkan kita kepada realiti sebenar.” katanya.

Mengenai reformasi media, beliau mengakui terdapat kemajuan termasuk usaha menubuhkan Majlis Media Malaysia serta penggubalan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat, yang disifatkannya penting bagi memperkukuh ketelusan dan membina semula kepercayaan awam terhadap ekosistem media.

“Media tidak boleh berfungsi tanpa akses kepada maklumat yang boleh dipercayai dan tepat pada masanya, dan rakyat boleh mempercayai maklumat yang disalurkan melalui media. Oleh itu, rang undang-undang ini amat penting,” katanya.

Beliau berharap Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta akan disalurkan secara berkesan bagi menyokong pembangunan dan kemampanan media.

Isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan itu perlu dilihat secara menyeluruh, katanya sambil menegaskan bahawa kebebasan media berkait rapat dengan persekitaran pekerjaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan