AM

PERMIT SEMBELIHAN KORBAN DIJANGKA MENINGKAT TAHUN INI - JPV TERENGGANU

10/05/2026 06:02 PM

KUALA TERENGGANU, 10 Mei (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu menjangkakan sebanyak 2,000 permit pergerakan ternakan korban dikeluarkan tahun ini, meningkat berbanding 1,750 permit tahun lepas.

Pengarah JPV Terengganu Dr Anun Man berkata setakat ini pihaknya telah membawa masuk sebanyak 400 ternakan melalui dua pengusaha atau pedagang ternakan sebagai persiapan awal sambutan Aidiladha.

"Mengikut data sistem eVetPermit, sebanyak 1,750 permit telah dikeluarkan melibatkan 4,341 ternakan terdiri daripada permit masuk negeri, keluar negeri dan permit masuk dalam negeri bagi tempoh April hingga Jun.

"Berdasarkan trend semasa, jumlah penyembelihan korban di Terengganu dijangkakan sehingga 6,600 ekor," katanya pada program Kempen Kesedaran Awam Pencegahan Penyakit Haiwan Ternakan JPV Terengganu 2026, di sini hari ini.

Program itu disempurnakan oleh Pengarah Pertanian Terengganu Dr Sukati Sakka dan turut dihadiri Pengarah Perikanan Terengganu Pang Nyukang.

Dalam pada itu, Anun berkata terdapat 90 pengusaha dan pedagang ternakan di negeri ini dengan kapasiti sebanyak 7,155 ekor haiwan ternakan termasuk lembu, kambing, biri-biri dan kerbau.

Sempena sambutan Aidiladha, beliau berkata JPV telah membuka permohonan Permit Kebenaran Sembelihan Luar (PSL) bermula hari ini hingga 21 Mei ini.

"Permohonan boleh dibuat di semua Pejabat Veterinar Daerah di seluruh Terengganu dan pergerakan hanya sah dari 24 hingga 30 Mei. Bagaimanapun keutamaan masih diberi kepada rumah sembelihan jabatan dan swasta berlesen bagi tujuan kawalan penyakit.

"Kadar yuran permit ditetapkan sebanyak RM35 seekor bagi lembu atau kerbau dan RM25 bagi kambing atau biri-biri dengan semua aktiviti penyembelihan tertakluk kepada pemantauan pemeriksa daging serta pematuhan garis panduan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan makanan serta pencegahan penyakit ternakan," katanya.

Sementara itu, Anun berkata orang ramai tidak digalakkan membeli ternakan atau daging daripada sumber diragui bagi memastikan keselamatan makanan serta mengelak penyakit.

Beliau berkata pada tahun lepas, JPV telah melakukan pelbagai rampasan terhadap ternakan yang disembelih di luar rumah sembelihan kerana tidak melalui pemeriksaan pihaknya serta tiada jaminan kebersihan.

"Sampel daripada rampasan ternakan telah diambil dan dihantar untuk dianalisis. Daripada keseluruhan sampel, sebanyak lima daripada 10 sampel didapati melebihi piawaian dari aspek kandungan bakteria, manakala 20 peratus lagi didapati positif salmonelosis.

"Kuman ini boleh menyebabkan keracunan makanan kepada manusia. Jika daging tercemar ini dimasak dengan tidak sempurna, ia boleh menyebabkan cirit-birit, demam, muntah dan risiko kesihatan lain," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan