JOHOR BAHRU, 11 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke sesi fotografi di Tangga Selat, Istana Besar di sini sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80 hari ini.
Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berangkat sama mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Tangga Selat merupakan ‘lokasi’ tertubuhnya parti tersebut di istana berkenaan.
Keberangkatan Sultan Ibrahim disambut Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sesi fotografi itu diadakan bagi mengenang sejarah penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 di Istana Besar pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim, hasil Kongres Melayu Ketiga yang dipimpin Dato’ Onn Jaafar.
Penubuhan parti tersebut menjadi antara lembaran utama dalam perjuangan nasionalisme negara sehingga mencetuskan pergerakan menentang Malayan Union dan kemudian ke arah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.
-- BERNAMA
