JOHOR BAHRU, 11 Mei (Bernama) -- UMNO menyambut ulang tahun ke-80 di Istana Besar Johor di sini sebagai simbolik memperingati sejarah penubuhan parti itu.
Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara yang hadir bagi meraikan sambutan bersejarah itu.
Turut hadir Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi serta barisan kepimpinan tertinggi parti berkenaan.
Sambutan itu turut menyaksikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berkenan mengabadikan kenangan bersama kepimpinan parti itu di Tangga Selat, Istana Besar Johor.
Tangga Selat adalah ‘lokasi’ tertubuhnya parti itu di istana berkenaan pada 11 Mei 1946.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam hantaran di Facebook beliau berkata menjangkau usia 80 tahun, UMNO telah melalui pelbagai fasa jatuh dan bangun, pernah diuji dengan cabaran politik, perpecahan, persepsi dan perubahan zaman.
“Namun UMNO terus berdiri kerana kekuatannya bukan terletak pada nama semata-mata tetapi pada jiwa perjuangan ahli-ahlinya yang tetap setia mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Majlis sambutan ulang tahun berkenaan turut diisi dengan bacaan tahlil ringkas dan doa selamat.
Barisan Majlis Tertinggi UMNO juga dijadualkan mengadakan mesyuarat di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini pada 3 petang ini.
Ahmad Zahid dalam satu lagi hantaran di Facebook berkata kehadiran beliau bersama kepimpinan parti itu di lokasi berkenaan bukan sekadar untuk bernostalgia, sebaliknya bagi mengenang jasa generasi terdahulu serta memperbaharui tekad meneruskan amanah perjuangan parti.
“Di sinilah para pemimpin Melayu berhimpun, menyatukan tekad dan keberanian untuk mempertahankan agama, bangsa, tanah air serta kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya.
Beliau turut menzahirkan junjungan kasih kepada Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Ismail atas perkenan mencemar duli ke sesi fotografi bersejarah berkenaan.
-- BERNAMA
