KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital (DLE) melakar pencapaian penting hari ini apabila 126 pemimpin berjaya menamatkan Kohort 2 dan 3 program itu.
Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Abdul Karim Fakir Ali berkata kejayaan itu mencerminkan kekuatan kapasiti kepimpinan digital Malaysia yang semakin berkembang dan kerelevanan program tersebut.
“Para peserta sememangnya pakar dalam bidang masing-masing, namun keupayaan mereka berjaya diperkukuh melalui DLE dan kini berada pada kedudukan terbaik untuk memacu transformasi dalam organisasi masing-masing serta menyumbang kembali kepada negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengijazahan Program DLE 2025, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi MCMC Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Simon Sun.
Sementara itu, Abdul Karim berkata Kohort 4 sedang berlangsung manakala Kohort 5 dijangka bermula Julai ini, sekali gus menghampiri sasaran melatih 300 pemimpin digital menjelang akhir tahun ini.
Program DLE yang dilancarkan pada Mac 2024 hasil kerjasama MCMC dan Huawei itu menumpu kepada pembangunan bakat kepimpinan digital menerusi pengukuhan kepakaran teknikal dan kemahiran kepimpinan bagi menyokong pembangunan ekonomi digital Malaysia yang mampan dan inklusif.
Program itu merupakan inisiatif strategik yang bertujuan memperkasa kepimpinan merentasi sektor kerajaan, industri dan ahli akademik untuk mendepani transformasi digital.
Abdul Karim berkata program itu juga bertujuan merapatkan jurang kepimpinan dan mempersiap peserta untuk menerajui transformasi Malaysia dalam bidang utama seperti teknologi 5G, kecerdasan buatan, Internet Pelbagai Benda, pengkomputeran awan, data raya, teknologi hijau, keselamatan siber dan teknologi baharu lain.
“Inisiatif ini amat penting dalam merealisasikan hasrat Malaysia mencapai pertumbuhan mampan dan inklusif dalam era digital,” katanya.
Beliau berkata keistimewaan program itu ialah pendedahan antarabangsa menerusi pengalaman latihan yang menyeluruh termasuk lawatan sambil belajar ke fasiliti penyelidikan dan pembangunan Huawei di China.
Abdul Karim berkata pendedahan tersebut menyediakan pengetahuan yang berguna kepada para peserta mengenai teknologi baharu, strategi inovasi dan amalan terbaik global, selain mengukuhkan kepentingan menyelaraskan usaha pendigitalan dengan kepimpinan serta keutamaan organisasi.
Beliau turut memuji penghasilan projek Capstone oleh para peserta untuk menangani agenda utama negara, merangkumi penyelesaian teknikal dan pelan perniagaan yang memberi impak sosial nyata.
“Laporan Capstone menjadi rujukan penting kepada pembuat dasar dan pihak berkepentingan industri, dan kami berharap idea yang diketengahkan dapat dibangunkan serta dilaksanakan bagi menghasilkan impak yang nyata,” katanya.
-- BERNAMA
