SHAH ALAM, 12 May (Bernama) -- Seorang lelaki ditemukan maut di dalam longkang di Taman Sentosa, Klang di sini hari ini, dipercayai akibat diserang sakit jantung.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan itu pada 1.28 tengah hari.
“Pada 2.05 petang, pihak ambulans dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang yang tiba di lokasi telah mengesahkan bahawa lelaki tersebut telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati lelaki berusia lingkungan 50-an itu ialah pekerja kontraktor Air Selangor yang sedang menjalankan kerja-kerja di kawasan berhampiran,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian ialah akibat Ischaemic Heart Disease due to Coronary Artery Atherosclerosis dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Lim turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam dan memberi ruang agar siasatan dapat dijalankan.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap di dalam longkang.
-- BERNAMA
