KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Elemen Guru Bitara dijadikan teras utama dalam menjayakan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 bagi mendepani cabaran global dan transformasi digital dalam tempoh sedekad akan datang.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata elemen itu bukan sekadar gelaran, malah turut merujuk kepada pendidik yang mempunyai kualiti unggul merangkumi aspek ilmu, kemahiran, keseimbangan emosi, serta kekuatan rohani dalam membina generasi insan sejahtera.
Beliau berkata di bawah RPM yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal tahun ini, satu strategi jitu telah digariskan untuk melahirkan insan terdidik yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memiliki kemahiran insaniah yang tinggi.
"Sebab itu insan terdidik yang kita nak lahirkan memerlukan guru yang bitara. Guru bitara ialah guru yang tiada tolok bandingnya dari segi nyala rasa, ilmu, kemahiran, keseimbangan emosi dan psikologinya, serta fokus terhadap tanggungjawab dan amanah mendidik anak bangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara bertajuk "Guru Bitara Nadi Negara" terbitan Bernama TV, di sini semalam.
Mengulas tentang tema Hari Guru 2026, iaitu "Guru Bitara Nadi Negara", Mohd Azam berkata peranan guru dalam era digital kini semakin mencabar dengan kehadiran teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan dunia tanpa sempadan yang menuntut transformasi dalam kaedah pengajaran.
"Cikgu perlu sedar cabaran anak-anak kita pada masa depan. Anak kita hidup dalam dunia tanpa sempadan. Cabaran di sini ialah nilai-nilai luar mula menerobos masuk ke dalam kehidupan anak-anak kita. Sebab itu kita nak transformasikan cikgu menjadi pendidik yang sesuai dengan zaman," katanya.
Berhubung kebajikan dan beban tugas guru, Mohd Azam memberikan jaminan bahawa usaha berterusan dilakukan bagi mengurangkan bebanan tugas bukan profesional untuk membolehkan guru memberikan tumpuan penuh kepada masa pengajaran di dalam bilik darjah.
Beliau turut mengingatkan pihak pentadbiran sekolah agar tidak terjebak dengan budaya ranking atau persaingan aktiviti yang keterlaluan sehingga menjejaskan kreativiti serta kesejahteraan mental guru.
Menyentuh mengenai sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Perak pada 15 Mei ini, Mohd Azam berkata satu kelainan bakal ditampilkan apabila sebanyak 625 guru dijadualkan membaca khutbah Jumaat khas di masjid-masjid di seluruh negeri tersebut.
Sambutan tahun ini yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri akan dilaksanakan dengan langkah penjimatan sebagaimana saranan kerajaan, namun tetap mengekalkan penghormatan tertinggi kepada profesion keguruan sebagai ikhtiar membina negara bangsa.
-- BERNAMA
