KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Majlis Ulama UMNO Malaysia menggesa pihak berkuasa agama meneliti secara serius kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mengandungi unsur-unsur tidak sahih dan menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam.
Pengerusi majlis berkenaan Datuk Dusuki Ahmad berkata pihak berkuasa agama perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung penyebaran fatwa politik songsang yang disandarkan atas nama Islam.
Beliau berkata pihak berkuasa juga perlu tampil memberikan penjelasan tuntas bagi mengelak isu berkenaan terus mencetuskan kekeliruan dan perpecahan, selain mengingatkan semua pihak agar menghormati institusi agama Islam di bawah naungan Raja-Raja Melayu.
“Kita tidak boleh membiarkan polemik seperti ini terus memecahbelahkan umat Islam serta mengheret masyarakat ke arah budaya permusuhan sesama Muslim,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, tular video memaparkan Nik Muhammad Zawawi semasa ceramah politik di Kuala Terengganu minggu lepas yang didakwa mengeluarkan kenyataan seolah-olah menghina dan mempersendakan kewibawaan beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW.
Ahli Parlimen Pasir Puteh itu dilaporkan telah memohon maaf hari ini dan mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan mengenai para sahabat Rasulullah SAW.
Sementara itu, Dusuki berkata semua pihak yang bercakap atas nama agama wajib memastikan setiap perkataan dibuat berdasarkan fakta sahih, beradab dan bertanggungjawab.
Beliau berkata umat Islam, khususnya pengikut Ahli Sunnah Waljamaah wajib meyakini bahawa sahabat Rasulullah merupakan generasi terbaik umat dan diangkat menjadi sahabat rapat baginda bukan semata-mata kerana hubungan zaman, tetapi kerana keimanan, pengorbanan, akhlak dan adab mereka yang tinggi terhadap Nabi Muhammad dan ajaran Islam.
Sehubungan itu, beliau berkata Majlis Ulama UMNO Malaysia menyeru semua pihak terutama PAS supaya tidak bertindak melulu dalam isu melibatkan agama, raja dan kaum (3R), selain mengelakkan budaya takfir serta fitnah yang boleh mengeruhkan lagi hubungan sesama umat Islam.
“Politik mestilah dipandu dengan ilmu dan akhlak. Perbezaan parti politik tidak boleh membawa kepada penghinaan tokoh-tokoh Islam antara satu sama lain,” katanya.
-- BERNAMA
