JENAYAH & MAHKAMAH

TIADA PEGAWAI ATM CEDERA DALAM LETUPAN DRON BERHAMPIRAN MARKAS UNIFIL - MOHAMED KHALED

13/05/2026 11:00 AM

​KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Tiada pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cedera atau maut dalam insiden letupan dipercayai melibatkan dron tidak dikenal pasti berhampiran Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL HQ) di Naqoura semalam.

​Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kejadian pada kira-kira 5.30 petang waktu Malaysia berlaku berhampiran pagar perimeter markas kira-kira 20 meter dari Malaysia House, iaitu kemudahan rehat bagi lima pegawai ATM yang bertugas sebagai Pegawai Staf Tentera (PST) UNIFIL HQ. 

​Beliau berkata letupan itu hanya mengakibatkan kerosakan kecil pada bahagian luar dan dalam bangunan berkenaan. 

​”Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan melibatkan PST Malaysia mahupun staf UNIFIL memandangkan kesemuanya berada di dalam bunker semasa kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata sebelum insiden letupan, siren amaran dibunyikan pada 5.19 petang (waktu Malaysia) dan arahan untuk memasuki bunker dikeluarkan kepada semua PST bertugas di Markas UNIFIL sebagai langkah keselamatan berikutan situasi ancaman di kawasan operasi. 

Susulan insiden itu, Mohamed Khaled berkata kawasan sekitar Malaysia House ditutup sementara untuk siasatan dan pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa UNIFIL.

“Pada masa sama, penilaian lanjut sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kerosakan melibatkan struktur bangunan dan peralatan manakala tindakan susulan berkaitan pembaikan akan diselaraskan melalui elemen MALBATT 850-13,” katanya.

Malaysia House terletak kira-kira 24 kilometer dari Kem Marakah, iaitu penempatan utama MALBATT 850-13 di selatan Lubnan. 

Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama akan terus memantau rapat situasi di kawasan operasi dan bekerjasama dengan UNIFIL bagi memastikan keselamatan anggota Malaysia sentiasa terpelihara. 

​-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan