AM

DANA PEROLEHAN ASET ATM TIDAK LAGI DIBEKU - MOHAMED KHALED

12/05/2026 03:48 PM

KLUANG, 12 Mei (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengesahkan dana perolehan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak lagi dibekukan, susulan langkah penstrukturan yang dilaksanakan bagi memastikan tiada isu ketirisan atau kebocoran dana berlaku.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sehubungan dengan itu, segala urusan perolehan aset ketenteraan, kini kembali berjalan seperti biasa mengikut perancangan.

“Tidak ada lagi pembekuan, kerana kita telah lakukan penstrukturan-penstrukturan yang boleh memastikan, tiada ketirisan, kebocoran dan sebagainya,” katanya selepas merasmikan Program Ekonomi MADANI ATM di Kem Batu 3, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status terkini pembekuan dana perolehan ATM.

Sebelum ini beliau dilaporkan berkata MINDEF, sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung status dana perolehan ATM yang dibekukan sebelum ini, bagi memastikan perkara penting diberi perhatian segera agar operasi dan kesiapsiagaan ATM tidak terjejas.

Pada 16 Jan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait dengan isu rasuah, dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.

Pembekuan tersebut susulan kontroversi yang melanda ATM berkaitan isu rasuah serta salah guna kuasa, membabitkan beberapa bekas pimpinan tertinggi ATM.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai sama ada MINDEF melaksanakan penilaian terhadap sebarang perolehan susulan krisis bekalan global, Mohamed Khaled berkata perkara itu merupakan antara aspek yang diambil perhatian kementeriannya.

Mohamed Khaled berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) juga telah meminta MINDEF,  memberikan cadangan berhubung bagaimana aspek pertahanan di negara ini dapat disesuaikan dengan krisis bekalan global dan konflik di Asia Barat.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata kementeriannya melihat bahawa keupayaan dalam membangunkan industri pertahanan tempatan, sebagai antara perkara yang perlu dipertingkat dengan mengambil pendekatan asymmetrical warfare.

“(Sebagai contoh), kita wajar mengamalkan pendekatan asymmetrical warfare iaitu satu keadaan antara dua negara dengan kekuatan ketenteraannya tidak sama, sangat besar jurang, jadi biasanya negara berhadapan dengan itu, akan ambil pendekatan ini.

“Pendekatan ini dengan sesebuah negara keluarkan produk tempatan secara banyak dan murah dan mempunyai keupayaan untuk menghubungkan sistem teknologi maklumat (IT) dan elektronik,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kes anggota tentera cedera parah termasuk retak tengkorak dalam kejadian di Kem Iskandar di Mersing, beliau berkata kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut pihak berwajib.

Media sebelum ini melaporkan mangsa Abdul Hamid Talib, 25, yang berasal dari Bum Bum, Semporna, Sabah dan bertugas di Rejimen 22 Komando di kem berkenaan kini tidak mampu bercakap, serta terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan