AM

KERAJAAN KESAL TINDAKAN NORWAY TIDAK LULUS PERMIT EKSPORT PELURU BERPANDU - FAHMI

13/05/2026 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Kerajaan Malaysia menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan Norway yang tidak meluluskan permit eksport bagi perolehan peluru berpandu dari negara tersebut pada saat akhir.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan itu menyebabkan syarikat dari Norway yang terlibat tidak dapat meneruskan pembekalan seperti dipersetujui, walaupun kontrak perolehan berkenaan telah dimeterai sejak 2018.

Beliau berkata kontrak tersebut telah dilaksanakan tanpa sebarang isu, dengan semua pembayaran dibuat mengikut jadual.

“Kerajaan Malaysia sama sekali tidak dapat menerima alasan yang dikemukakan oleh kerajaan Norway," katanya pada sidang media mingguan yang diadakan di Angkasapuri, di sini, hari ini.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata kerajaan kini sedang mengambil tindakan melalui  saluran diplomatik selain mempertimbangkan langkah susulan dari sudut perundangan kerana perkara berkaitan perancangan pertahanan negara melibatkan kepentingan strategik yang tidak boleh dikompromi.

Kementerian Luar Norway dilaporkan telah menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada langkah negara itu memperketat kawalan eksport.

Menurut laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan peluru berpandu anti-kapal (NSM) itu dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu.

Peluru berpandu itu mempunyai keupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan jarak melebihi 300 kilometer.

Sementara itu mengenai kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkenaan kuota subsidi di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95) Fahmi menegaskan laporan itu tidak tepat dan telah ditarik balik oleh syarikat media berkenaan.

Beliau berkata kenyataan Timbalan Menteri Kewangan itu jelas merujuk kepada kajian yang sedang dijalankan oleh kementerian tersebut bagi meneliti corak penggunaan bahan api dalam kalangan penerima subsidi, bukannya pengumuman dasar baharu kerajaan.

“Kementerian Kewangan mengkaji tahap 300 liter, berapa ramai rakyat Malaysia yang mendapat manfaat, 200 liter, 150 liter, 100 liter dan bila disebut tahap-tahap kajian itu, itulah yang telah disalah erti,” katanya.

Semalam, Liew menafikan membuat pengumuman atau dasar baharu bagi pihak kerajaan termasuk had 150 liter subsidi di bawah program Budi95.

Mengulas kenyataan kontroversi Ahli Parlimen Pasir Putih Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad SAW, Fahmi berkata Jemaah Menteri mengecam keras perkara itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa serta Jabatan Agama Islam untuk menjalankan siasatan lanjut.

Sebelum ini, tular video ucapan Nik Muhammad Zawawi yang didakwa menghina beberapa sahabat Nabi dalam ceramah di Kuala Terengganu, Ahad lepas, namun beliau hari ini memohon maaf dan menarik balik kenyataan itu selepas mengakui kurang cermat dalam penyampaiannya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan