KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperkemas prosedur operasi standard (SOP) penugasan konvoi berskala besar bagi mengelakkan tragedi kemalangan maut melibatkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak genap setahun yang lepas berulang.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata penambahbaikan itu memberikan penekanan khusus terhadap aspek pematuhan SOP oleh setiap anggota ketika melaksanakan tugas.
“Kita telah membuat banyak penambahbaikan serta memperkemas SOP dalam penugasan terutama melibatkan konvoi besar dan saya percaya dengan peningkatan peraturan itu, kita dapat mengurangkan kemalangan bukan sahaja ketika bertugas tetapi juga semasa berada di jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan PDRM Special Dialogue V (PSD V) 2026 di sini hari ini.
Selain itu, Mohd Khalid berkata PDRM turut meningkatkan aspek logistik dan peralatan FRU dari semasa ke semasa menerusi perolehan baharu.
“Kita menerima peruntukan daripada kerajaan untuk mempertingkatkan peralatan serta logistik termasuk kenderaan baharu. Saya percaya ia akan memberi semangat yang lebih kuat kepada semua petugas PDRM,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa kebajikan keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut sentiasa menjadi keutamaan, termasuk penyaluran bantuan keperluan dan perlindungan insurans.
"Setakat ini Alhamdulillah, segala bantuan keperluan dan insurans telah dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Jika ada kekurangan, keluarga boleh berhubung dengan ketua polis negeri masing-masing,” katanya.
Dalam kejadian pada 13 Mei 2025, sembilan anggota FRU terkorban manakala sembilan lagi cedera selepas trak dinaiki dirempuh lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam kira-kira 8.50 pagi.
Siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kerosakan sistem stereng lori berkenaan ketika trak FRU yang membawa 18 anggota itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan di bawah Ops Chariot di Teluk Intan.
-- BERNAMA
