PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Kira-kira 700,000 penjaja yang berdaftar di bawah gabungan penjaja dijangka memanfaatkan inisiatif Agro Penjaja-i yang dilancarkan hari ini, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.
Bercakap pada sidang media selepas majlis pelancaran Agro Penjaja-i di sini hari ini, Tengku Ahmad Badli Shah berkata inisiatif itu menyasarkan peniaga kecil khususnya penjaja dengan antara lain, menawarkan pembiayaan dan khidmat nasihat serta simpanan pengurusan kewangan secara digital.
"Kita juga memberi pinjaman antara RM5,000 hingga RM100,000 bagi membantu penjaja mengembangkan perniagaan, membeli peralatan dan memantapkan perniagaan pada masa akan datang.
"Kami juga memberi hibah ataupun keuntungan kepada simpanan dalam akaun Agro Penjaja-i serta dilindungi oleh takaful serendah RM10 setahun," katanya.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata Agrobank turut menawarkan perkhususan green lane kepada pemprosesan Ar-Rahnu sehingga RM300,000, dengan kadar istimewa serta mendapat keuntungan daripada simpanan penjaja.
Katanya antara terma dan syarat yang perlu dipenuhi adalah penjaja perlu berdaftar dengan Gabungan Penjaja dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan kelulusan atau lesen untuk menjalankan aktiviti perniagaan.
"Kelulusan akan dibuat berdasarkan kepada kemampuan bayaran dan keperluan penjaja sendiri walaupun mereka turut mendapat pembiayaan daripada agensi kerajaan seperti Tekun Nasional," katanya.
Selain itu katanya, melalui inisiatif itu juga, pihaknya akan menyediakan khidmat nasihat secara percuma dan bimbingan individu selama tiga bulan, untuk membantu penjaja dalam pengurusan kewangan serta pemasaran.
Terdahulu dalam ucapan pelancaran, Mohamad berkata pelancaran inisiatif itu bertepatan dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membantu golongan penjaja dan usahawan untuk menempuh pelbagai cabaran akibat krisis tenaga global ketika ini.
"Agro Penjaja-i merupakan satu pendekatan holistik Agrobank dalam memperkasakan komuniti penjaja dan usahawan mikro yang menjadi antara tulang belakang ekonomi negara.
"Melalui inisiatif ini, kami bukan sahaja menyediakan akses pembiayaan yang mudah dan inklusif, tetapi turut membantu mereka meningkatkan ilmu keusahawanan, pengurusan kewangan serta keupayaan pendigitalan perniagaan," katanya.
-- BERNAMA
