KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) sedang mempergiat usaha libat urus industri bagi meningkatkan kesiapsiagaan penggiat menjelang pelaksanaan proses kebenaran beroperasi meliputi pelesenan dan pendaftaran di bawah Akta Kredit Pengguna (AKP) 2025.
Dalam kenyataan hari ini, SKP menyifatkan usaha itu sebagai langkah penting dalam mewujudkan rangka kerja kawal selia lebih tersusun bagi penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit bukan bank.
Sejajar itu juga, SKP akan mengadakan sesi taklimat industri pada 18-19 Mei, 2026.
Menurutnya, sesi itu bagi membantu industri kredit yang sebelum ini tidak tertakluk di bawah mana-mana kawal selia khusus untuk memahami keperluan ditetapkan serta membuat persediaan awal bagi pematuhan menjelang pelaksanaan kebenaran beroperasi pada Jun 2026.
“Di bawah Fasa 1 pelaksanaan AKP, enam aktiviti perniagaan dalam skop kawal selia iaitu skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), pemfaktoran, pajakan, kutipan hutang, pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas serta kaunseling dan pengurusan hutang.
“Peserta industri yang telah dikenal pasti menjalankan aktiviti-aktiviti itu akan dihubungi secara terus oleh pihak SKP untuk menyertai sesi taklimat ini,” menurutnya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif SKP Abu Hassan Alshari Yahaya berkata fokus utama suruhanjaya itu adalah untuk memastikan semua peserta industri memahami tanggungjawab di bawah AKP serta bersedia menghadapi pelaksanaan rangka kerja kawal selia baharu itu.
“Penglibatan awal dan secara berterusan bersama industri akan membantu memastikan kelancaran proses peralihan serta menyokong pembangunan industri kredit pengguna yang lebih telus dan berintegriti.
“SKP komited dalam membangunkan ekosistem yang berteraskan standard pelakuan yang tinggi, di samping memastikan rangka kerja kawal selia yang seimbang bagi menyokong pertumbuhan mampan serta inovasi yang bertanggungjawab,” katanya.
Keperluan pelesenan dan pendaftaran di bawah AKP akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun, 2026 dengan tempoh peralihan selama enam bulan bagi pemain industri mengemukakan permohonan lesen atau pendaftaran yang berkaitan dan kegagalan pematuhan boleh dikenakan tindakan.
Maklumat lanjut di www.skp.gov.my atau boleh menghubungi Anna Maria annamaria@skp.gov.my.
-- BERNAMA
