AM

HARGA RUNCIT DIESEL TURUN 30 SEN, RON95 TANPA SUBSIDI TURUN 15 SEN

13/05/2026 10:01 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia turun 30 sen kepada RM4.87 sen seliter bagi tempoh 14 hingga 20 Mei 2026, berbanding RM5.17 seliter sebelum ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit RON97 pula ditetapkan pada RM4.70 seliter iaitu turun 20 sen, berbanding RM4.90 seliter sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi turun 15 sen kepada RM3.87 seliter berbanding RM4.02.

Pada tempoh sama, MOF memaklumkan kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan operasi sektor tertentu.

Ini termasuk RON95 bersubsidi (BUDI95) pada RM1.99 seliter; diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter; Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.

Menurut MOF, selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), untuk minggu ini harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan harga runcit petrol RON95 dan RON97 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.

“Namun, harga bahan api kekal jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum konflik di Asia Barat. Harga minyak mentah masih mencecah sekitar USD100 setong, berbanding sekitar USD 60 hingga USD 70 setong sebelum konflik.

“Harga runcit bahan api turut dipengaruhi oleh lonjakan kos logistik dan insurans akibat peningkatan risiko di zon konflik. Risiko gangguan laluan di Selat Hormuz juga terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, sekali gus mempengaruhi harga pasaran,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memanjangkan bekalan negara.

“Bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan