BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
 EKONOMI

AKTIVITI PASARAN HARTA TANAH SUKU PERTAMA 2026 TUMBUH SEDERHANA, 89,966 TRANSAKSI BERNILAI RM51.9 BILION

14/05/2026 12:20 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Aktiviti pasaran harta tanah negara mencatat pertumbuhan sederhana dengan 89,966 transaksi bernilai RM51.9 bilion pada suku pertama 2026, kata Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta Abdul Razak Yusak.

Menurutnya prestasi itu menunjukkan penyusutan bilangan dan nilai masing-masing sebanyak lapan peratus dan 0.6 peratus berbanding suku pertama 2025. 

Beliau berkata walaupun trajektori aktiviti pembinaan mula perlahan, prestasi aktiviti pembinaan di peringkat siap dibina bagi harta tanah kediaman dan kedai terus kukuh dengan pertumbuhan positif.

"Aktiviti pasaran yang kekal berdaya tahan ini adalah tanda keyakinan industri terhadap momentum penstrukturan semula ekonomi Malaysia sebagaimana dalam kerangka Ekonomi MADANI walaupun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global. 

"Inisiatif kerajaan melalui kerangka Ekonomi MADANI dan sokongan berterusan kerajaan mengukuhkan trajektori pertumbuhan pasaran harta tanah dan memberi manfaat yang berterusan kepada rakyat," katanya di laman Facebook Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) sempena pelancaran Siaran Pasaran Harta Suku Tahun Pertama 2026, hari ini.

 Abdul Razak berkata subsektor kediaman terus mendominasi keseluruhan aktiviti pasaran harta tanah sebanyak 58.8 peratus daripada keseluruhan bilangan transaksi dengan hampir 53,000 transaksi bernilai lebih RM22 bilion direkodkan. 

Menurutnya kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah kekal mendominasi pasaran dengan 27,209 bilangan transaksi direkodkan iaitu melebihi 50 peratus daripada jumlah transaksi kediaman.

"Berbanding suku pertama 2025, semua subsektor kediaman, komersial, industri, pertanian dan tanah pembangunan dan lain-lain menunjukkan prestasi transaksi perlahan dengan penurunan antara satu hingga 10.7 peratus," katanya. 

Mengenai aktiviti pembinaan, Abdul Razak berkata bilangan unit siap dibina kediaman meningkat lebih 30 peratus kepada 12,905 berbanding 9,329 unit pada suku yang sama pada 2025. 

Lonjakan peningkatan melebihi 100 peratus pula direkodkan bagi unit kedai serta kedai berstrata manakala nada yang kontra direkodkan bagi subsektor pangsapuri khidmat iaitu 1,888 unit siap direkodkan, berkurang lebih 40 peratus berbanding 2025, katanya.

Selain itu, Abdul Razak berkata penawaran baharu yang dirancang semua subsektor pula menunjukkan corak berbeza, dengan sektor kediaman dan kedai meningkat melebihi 50 peratus, masing-masing merekodkan 12,852 unit dan 823 unit. 

Pangsapuri khidmat juga turut merekodkan peningkatan signifikan kepada 6,961unit berbanding 4,024 pada tahun lepas, katanya.

Sementara itu, beliau berkata pelancaran baharu kediaman merekodkan sejumlah 9,112 unit dengan prestasi jualan 11.5 peratus, berkurangan sedikit berbanding suku pertama 2025 yang merekodkan lebih 12,000 unit dilancarkan.

Menurutnya, bagi data awalan Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) pada suku pertama 2026, sebanyak 235.2 mata dicatatkan iaitu RM507,533 seunit secara purata, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 1.7 peratus. 

Beliau berkata semua negeri menyaksikan pertumbuhan positif antara 0.3 peratus hingga 7.2 peratus kecuali Negeri Sembilan dan Sabah, masing-masing mengalami penguncupan sebanyak 0.2 peratus dan 2.3 peratus. 

Selain itu, rumah teres, unit bertingkat tinggi dan rumah berkembar kekal stabil dengan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 2.2 peratus, 1.3 peratus dan 2.2 peratus manakala rumah sesebuah merekodkan penurunan kecil sebanyak 0.7 peratus.

Bagi prestasi bilangan unit siap tidak terjual pula, unit kediaman siap dibina tidak terjual merekodkan 32,801 unit dengan nilai RM16.37 bilion, meningkat 7.6 peratus dari segi bilangan dan turun 7.7 peratus dari segi nilai daripada suku sebelumnya.

Menurutnya subsektor pangsapuri khidmat siap dibina tidak terjual meningkat kepada 19,263 unit bernilai RM16.52 bilion berbanding 18,752 unit bernilai RM15.42 bilion pada suku keempat 2025.

Bagi segmen komersial, kadar penghunian bagi kompleks perniagaan kekal 79 peratus manakala kadar penghunian bagi pejabat binaan khas milik swasta menunjukkan sedikit peningkatan kepada 72.3 peratus berbanding 72 peratus pada suku yang sama tahun lepas, katanya.

Laporan pasaran harta dan semua penerbitan lain boleh dilayari melalui portal rasmi Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPCI) di napic.jpph.gov.my.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan