EKONOMI

PENGAMAL MEDIA MAHU ETIKA AI DIPERKETAT, KERJASAMA  DALAM SEMAKAN FAKTA DIPERTINGKAT

14/05/2026 10:56 PM

Daripada Nurunnasihah Ahmad Rashid

KAZAN (Rusia), 14 Mei (Bernama) -- Pengamal media telah menyatakan keperluan untuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang beretika dan berpaksikan manusia bagi melindungi warisan budaya, integriti media dan kepercayaan awam dalam persekitaran transformasi digital yang pesat, pada forum media “Heritage Code: The Digital Evolution of Meanings.”

Forum yang dianjurkan oleh Strategic Vision Group “Russia–Islamic World” dan Republican Agency for Press and Mass Communications (Tatmedia) telah menghimpunkan lebih daripada 50 wakil media dari 21 negara untuk membincangkan pengaruh AI yang semakin meningkat terhadap kewartawanan, komunikasi digital dan sistem maklumat.

Timbalan Pengerusi Strategic Vision Group “Russia–Islamic World” yang juga pembantu khas kepada Rais (Ketua) Republik Tatarstan, Marat Gatin berkata perbincangan itu tertumpu pada inovasi dan transformasi dalam bidang maklumat menerusi penggunaan AI.

Beliau berkata pembangunan teknologi telah menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan media global dengan banyak negara kini membangunkan sistem maklumat berteknologi tinggi untuk mengukuhkan kerjasama dengan seluruh dunia dan Rusia.

“Pada masa sama, penting bagi kita untuk mengambil kira warisan budaya kita. Kami mengalu-alukan semua cadangan yang membina ke arah ini dan mengisytiharkan bahawa Strategic Vision Group ‘Russia–Islamic World bersedia untuk terus bertindak sebagai platform untuk projek kerjasama masa depan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Maklumat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Tarek Lajal berkata industri media kini berdepan cabaran hebat daripada ancaman deepfake, penyebaran maklumat palsu digital serta kecenderungan algoritma (algorithmic bias) yang boleh memesongkan naratif budaya dan menggugat keutuhan rekod sejarah.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai kedaulatan data dan berkata sebahagian besar warisan digital dunia dan kandungan kewartawanan disimpan di platform digital dikawal oleh pihak asing.

“Untuk memelihara makna dan keaslian warisan dalam era digital, sistem AI mesti dilatih menggunakan konteks budaya dan linguistik tempatan,” katanya yang menyeru kerjasama lebih kukuh antara organisasi media dalam kalangan negara anggota OIC.

Lajal berkata OIC sedang merancang untuk menubuhkan “Rangkaian Semak Fakta OIC” (OIC Fact-Check Network), memfokuskan kepada maklumat palsu berkaitan budaya dan agama dan menekankan bahawa AI sepatutnya memperkukuh bukannya menggantikan peranan manusia dalam penceritaan dan kewartawanan.

Pada masa sama, Timbalan Pengarang Eksekutif Perkhidmatan Ekonomi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nor Baizura Basri berkongsi pengalaman Malaysia dalam mengguna pakai AI di bilik berita, menyifatkan kemajuan teknologi tersebut sebagai anjakan besar dalam amalan kewartawanan sepanjang dua dekad yang lepas.

Beliau berkata AI telah membantu wartawan memproses data yang besar dan kompleks dengan lebih cekap, terutamanya dalam pelaporan perniagaan, bagaimanpun mengingatkan supaya tidak terlalu bergantung kepada kandungan janaan AI yang boleh menjejaskan pemikiran kritis dan tanggungjawab editorial.

"AI harus meningkatkan keupayaan wartawan bukan menggantikan peranan mereka. Kewartawanan akan kehilangan jiwa dan tanggungjawabnya jika pengamal media terlalu bergantung pada AI," katanya.

Nor Baizura menekankan inisiatif MyCheck Malaysia oleh Bernama yang telah membangunkan platform pengesahan dan semakan fakta berkuasa AI, ia mampu mengesan maklumat salah, ucapan kebencian, corak viraliti dan kandungan deepfake dalam masa sebenar.

Beliau turut mencadangkan pembentukan kerangka etika AI am untuk bilik berita, program fellowshi berfokuskan AI antara negara-negara Islam dan Rusia serta dana khas bagi menyokong inovasi dan latihan AI dalam industri media.

Forum media itu diadakan bersempena dengan Forum Ekonomi Antarabangsa ke-17 “Russia-Islamic World: KazanForum 2026”.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan