AM

DAMANSARA SPECIALIST HOSPITAL 2 TINGKAT RAWATAN FIBROID BUKAN INVASIF MELALUI TEKNOLOGI HIFU

14/05/2026 06:51 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- KPJ Healthcare Bhd memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan wanita di Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2) melalui kerjasama strategik dengan Delta Medisains (M) Sdn Bhd.

KPJ Healthcare menerusi satu kenyataan memaklumkan kerjasama tersebut adalah untuk memajukan program Supine High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU) pertama di Asia Tenggara bagi rawatan fibroid bukan invasif.

“Kolaborasi itu menyokong usaha berterusan DSH2 untuk memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan wanita khusus melalui inovasi bersasar, pembangunan keupayaan klinikal dan penjagaan pelbagai disiplin, selaras dengan hala tuju Sistem Kesihatan KPJ (KPJHS),” menurut kenyataan itu.

DSH2 merupakan hospital pertama di Asia Tenggara yang memperkenalkan teknologi Supine HIFU untuk rawatan fibroid rahim, dengan pendekatan menghadap ke atas yang memberikan lebih keselesaan kepada pesakit sambil mengekalkan ketepatan rawatan.

"Pengalaman klinikal awal di DSH2 menunjukkan hasil yang menggalakkan untuk kes HIFU terpilih, termasuk tempoh diwadkan di hospital yang lebih singkat dan pemulihan yang lebih cepat berbanding pendekatan pembedahan yang lebih konvensional," maklum syarikat itu.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata kemajuan dalam penjagaan kesihatan bukan hanya sekadar memperkenalkan teknologi baharu semata-mata.

“Program Supine HIFU di DSH2 mencerminkan bagaimana inovasi bersasar dapat memperkukuh perkhidmatan penjagaan kesihatan wanita di samping meningkatkan hasil klinikal dan keseluruhan pengalaman pesakit,” katanya.

Beliau berkata pesakit hari ini semakin mencari pendekatan rawatan yang menyokong pemulihan lebih pantas, tidak mengganggu kehidupan seharian dan penjagaan yang selari dengan keperluan dan keadaan mereka.

"Apa yang lebih penting, inovasi perlu sentiasa memenuhi tujuan klinikal yang praktikal, diterjemahkan kepada penambahbaikan yang bermakna dalam penyampaian penjagaan kesihatan, hasil pesakit dan kualiti penjagaan secara keseluruhannya," katanya.

Program itu yang diketuai pakar perunding obstetrik dan ginekologi (sakit puan) Dr Liew Yen Eit dan Dr Haliza Kamarudin, disokong oleh pasukan pelbagai disiplin di DSH2 yang mengkhususkan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan wanita.

KPJ Healthcare memaklumkan kerjasama itu menandakan bermulanya usaha strategik lima tahun untuk menyokong pembangunan jangka panjang dan penggunaan teknologi Supine HIFU di Malaysia, di samping usaha dalam pendidikan perubatan, pembangunan kepakaran teknikal dan sokongan klinikal di seluruh rantau ini.

DSH2 baru-baru ini diiktiraf sebagai Specialty Hospital of the Year (Women’s) – Malaysia pada Anugerah Penjagaan Kesihatan Asia 2026.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan