JENAYAH & MAHKAMAH

OPS NODA: 213 GRO WARGA ASING, TIGA LELAKI TEMPATAN DITAHAN

15/05/2026 12:14 AM

JOHOR BAHRU, 14 Mei (Bernama) -- Sebanyak 213 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) serta tiga lelaki tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini, 3 Mei lepas.

Pemangku Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata dalam serbuan Ops Noda kira-kira 2.30 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah menyerbu premis pusat hiburan di sekitar bandar raya ini.

Menurut beliau, tiga lelaki tempatan yang ditahan itu berusia 22 hingga 36 tahun, manakala wanita warga asing pula berusia 19 hingga 45 tahun.

"Selain tangkapan tersebut, pihak polis turut menahan seorang lagi lelaki warga tempatan kerana mempunyai rekod dikehendaki berkaitan kesalahan dadah.

"Hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek warga tempatan tersebut mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek yang ditahan adalah negatif dan bebas daripada dadah," katanya dalam kenyataan malam ini.

Hoo berkata suspek warga tempatan telah direman selama empat hari bermula 3 hingga 6 Mei di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, manakala suspek warga asing direman 14 hari, hingga 15 Mei di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata polis turut merampas dua telefon bimbit, 10 keping kertas catatan jualan kalung bunga dan dua buah mesin e-dompet semasa serbuan dilakukan.

Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dengan arahan pemilik premis akan dituduh mengikut Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 4/98 serta Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

"Bagi warga asing pula, sebanyak 103 wanita akan dituduh di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63, sembilan orang di bawah Seksyen 15(1)(c) dan dua lagi di bawah Seksyen 6(1)(c) akta yang sama," katanya.

Kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok, manakala baki tangkapan yang memiliki dokumen perjalanan sah serta tidak melakukan kesalahan lain akan dibebaskan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan