DUNIA

KAPAL TANGKI MINYAK JEPUN KEDUA SELAMAT LEPASI SELAT HORMUZ

14/05/2026 09:56 PM

TOKYO, 14 Mei (Bernama-Kyodo) -- Sebuah kapal tangki minyak mentah milik kumpulan Eneos Holdings Inc. selamat melepasi Selat Hormuz dan sedang menuju ke Jepun, menjadikannya kapal tangki minyak mentah kedua menuju ke Jepun yang meninggalkan Teluk Parsi sejak perang Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran, menurut syarikat itu dan kerajaan Jepun.

Agensi Berita Kyodo melaporkan Presiden Eneos, Tomohide Miyata memberitahu sidang media mengenai keputusan pendapatan syarikat bahawa Eneos Endeavor, milik syarikat kumpulannya Eneos Ocean Corp., telah keluar dari laluan air strategik itu dan meneruskan pelayarannya ke Jepun.

Menteri Luar Toshimitsu Motegi memberitahu wartawan dalam sidang media bahawa “tiada tol dibayar kepada Iran bagi laluan” kapal berkenaan yang membawa empat anak kapal warga Jepun.

Motegi berkata kerajaan Jepun telah “secara langsung meminta Iran pada setiap kesempatan” untuk membolehkan kapal itu melalui laluan berkenaan, sambil menambah bahawa 39 kapal berkaitan Jepun masih berada di Teluk Parsi.

“Kami akan terus melakukan semua usaha diplomatik dan penyelarasan bagi merealisasikan laluan melalui selat itu secepat mungkin untuk semua kapal, termasuk yang berkaitan dengan Jepun,” katanya.

Miyata pula berkata: “Kami sangat gembira kapal itu dapat melalui laluan berkenaan dengan selamat,” sambil enggan mendedahkan masa kapal itu melalui selat berkenaan atau butiran lain. Beliau menambah kapal tangki itu dijangka tiba di Jepun antara akhir Mei hingga awal Jun.

Menurut laman sesawang penjejakan kapal Marine Traffic dan sumber lain, kapal tangki berdaftar di Panama itu meninggalkan Emiriah Arab Bersatu pada akhir Februari. Ia kekal berada di Teluk Parsi sehingga baru-baru ini, dengan Pelabuhan Kiire di Wilayah Kagoshima disenaraikan sebagai destinasinya.

Bulan lepas, sebuah kapal tangki minyak mentah yang dikendalikan subsidiari Idemitsu Kosan Co. dari Jepun melalui selat itu dalam kes pertama seumpamanya selepas AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb.

Jepun sangat bergantung kepada Asia Barat bagi bekalan minyak mentah dan kebanyakannya melalui Selat Hormuz. Penutupan efektif laluan perairan penting itu telah menyebabkan harga minyak mentah melonjak berikutan kebimbangan terhadap bekalan.

Eneos pada hari sama berkata ia menjangkakan keuntungan bersih bagi tahun fiskal 2026 yang berakhir Mac depan meningkat kira-kira 1.6 kali ganda berbanding tahun sebelumnya kepada 415 bilion yen (US$2.7 bilion), berikutan ketegangan di Asia Barat dijangka mengekalkan harga minyak mentah pada paras tinggi.

Syarikat itu meramalkan keuntungan operasi meningkat 30.7 peratus kepada 610 bilion yen dengan jualan berjumlah 12.85 trilion yen, naik 9.2 peratus.

Eneos berkata unjurannya dibuat berdasarkan andaian bahawa kesan situasi di Asia Barat terhadap perolehan minyak mentah, pengeluaran dan jualan akan terhad sehingga Mei.

Sementara itu, Eneos berkata situasi di Asia Barat menjejaskan perolehan minyak mentahnya dan syarikat itu sedang bekerjasama dengan kerajaan untuk mempelbagaikan sumber import, termasuk dari AS dan Asia Tengah, serta mempertimbangkan pembelian yang mengelakkan Selat Hormuz.

-- BERNAMA-KYODO

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan