AM

BELIA PENGGERAK MASA DEPAN NEGARA - AHMAD ZAHID

15/05/2026 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Golongan belia kini bukan lagi sekadar pemerhati, sebaliknya menjadi pencetus perubahan dalam pelbagai sektor strategik negara termasuk teknologi, pendidikan dan keusahawanan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia berkata generasi muda hari ini merupakan kekuatan yang sedang menggerakkan negara dalam mendepani perubahan dunia yang semakin pesat.

“Anak muda hari ini adalah kekuatan yang sedang menggerakkan negara. Dalam dunia yang berubah pantas, belia sentiasa tampil dengan idea baharu serta semangat yang besar dalam mencorakkan masa depan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Belia Negara 2026 hari ini.

Beliau berkata generasi muda memiliki peranan yang amat penting dalam membawa negara terus maju, stabil dan berdaya saing.

Ahmad Zahid berkata belia masa kini memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang termasuk teknologi, pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ekonomi kreatif serta kesukarelawanan.

Sempena Hari Belia Negara 2026 yang bertemakan “Menggerak Belia”, beliau berharap golongan muda akan terus melangkah dengan keyakinan, memperkukuh perpaduan serta berani mencipta peluang demi masa depan negara dengan nilai, ilmu serta jati diri yang kuat.

“Terus melangkah, terus mencipta dan terus menggerakkan Malaysia ke hadapan. Selamat Hari Belia Negara 2026,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan