PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) -- Orang ramai kini boleh memantau perkembangan krisis bekalan global dengan lebih mudah menerusi papan pemuka Pemantauan Krisis Bekalan Global seliaan Jabatan Perangkaan Malaysia dan Kementerian Ekonomi.
Menurut Kementerian Ekonomi dalam hantaran di Facebook, penyediaan papan pemuka itu adalah pendekatan baharu kerajaan dalam pengurusan krisis dengan penggunaan data hampir masa nyata.
Ia bertujuan mengesan tanda awal tekanan, membantu penyelarasan tindakan serta memastikan rakyat menerima maklumat yang lebih jelas dan tepat.
Papan pemuka itu boleh diakses melalui pautan https://pantaukrisis.gov.my/ atau dengan mengimbas kod respons pantas (QR) yang dikongsikan di platform media sosial kementerian berkenaan.
Antara maklumat yang tersedia ialah harga terkini bahan api, prestasi dagangan petroleum, harga tenaga global, prestasi ekonomi negara, trend kadar pertukaran mata wang dan analitik dagangan komoditi.
-- BERNAMA
