AM

WARTAWAN BERNAMA WAKIL TUNGGAL MEDIA MALAYSIA DALAM PROGRAM CIPCC 2026

16/05/2026 03:12 PM

Oleh Siti Zanariah Nor Zin

BEIJING, 16 Mei (Bernama) -- Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Siti Zanariah Nor Zin telah dipilih sebagai wakil tunggal media Malaysia bagi program China International Press Communication Centre (CIPCC) 2026.

Program yang bermula pada Isnin dan berakhir pada 11 Ogos itu diadakan di Universiti Renmin China (RUC), satu daripada institusi terkemuka dalam bidang pengajian kewartawanan dan komunikasi.

Berbeza dengan edisi sebelum ini, para peserta ditempatkan di kampus RUC, sekali gus membolehkan peserta merasai pengalaman kehidupan sebagai pelajar antarabangsa sepanjang program berlangsung.

Dianjurkan oleh Persatuan Diplomasi Awam China (CPDA) di bawah pengurusan CIPCC, inisiatif itu menghimpunkan 85 pengamal media dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Thailand, Kemboja, Maldives, Laos, Pakistan, India, Sudan, Lubnan, Yaman, Turkiye, Zimbabwe, Argentina, Brazil, Serbia dan Rusia.

Pengarah CIPCC Yu Lei berkata peserta akan menyertai pelbagai aktiviti termasuk latihan kewartawanan, program diplomatik, penerapan budaya, lawatan rasmi dalam dan luar Beijing, serta penempatan latihan praktikal di organisasi media utama China.

“Pengamal media juga akan berpeluang memahami dengan lebih mendalam mengenai rentas budaya melalui liputan berkaitan kehidupan komuniti, kemajuan teknologi, pembangunan bandar pintar serta warisan budaya China,” katanya pada sesi orientasi program itu pada Jumaat.

Yu berkata program itu turut bertujuan memperkukuh kerjasama media antarabangsa selain memberi peserta peluang untuk lebih memahami perkembangan semasa, budaya dan kemajuan China.

Sementara itu, pada sesi orientasi yang diadakan di School of Journalism and Communication RUC itu, Siti Zanariah berpeluang berinteraksi dengan pengamal media dari pelbagai negara yang mewakili organisasi penyiaran, akhbar, platform media digital dan agensi berita.

Para peserta turut diberikan taklimat mengenai sejarah dan pencapaian RUC sejak penubuhannya pada 1950, khususnya kecemerlangan dalam bidang kewartawanan dan undang-undang.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan