POLITIK

HALA TUJU PRU16 OLEH PM ANWAR, TUMPUAN KONVENSYEN PH ESOK - FAHMI

16/05/2026 05:52 PM

JOHOR BAHRU, 16 Mei (Bernama) -- Amanat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai persediaan mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bakal menjadi tumpuan utama lebih 5,000 perwakilan pada Konvensyen PH 2026, esok.

Pengarah Komunikasi PH Datuk Fahmi Fadzil berkata ucapan berkenaan amat signifikan bagi menetapkan strategi jentera memandangkan tempoh matang Parlimen sudah berlalu, selain persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

“Perdana Menteri akan memberikan hala tuju bagi PH bukan sahaja untuk mendepani PRN Johor, Melaka yang dijangka berlaku dalam tempoh tidak terlalu lama tetapi juga dari segi persiapan PH menuju PRU16 yang mungkin dalam tempoh setahun setengah dari sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Fahmi berkata gerak kerja awal jentera perlu diperkukuh memandangkan penggal Parlimen kali ini akan berakhir pada penghujung 2027.

“Mengambil kira tempoh matang tiga tahun bagi Parlimen telah pun berlalu... jadi, memang dalam tempoh lebih kurang setahun lebih kita akan berdepan dengan PRU16,” katanya.

Mengulas mengenai penganjuran konvensyen itu, Fahmi berkata kehadiran perwakilan dari seluruh negara dijangka melonjak melebihi sasaran asal 3,000 orang.

Selain itu, satu rapat umum dan ceramah perdana dijadualkan berlangsung di kawasan Dewan Undangan Negeri Putri Wangsa pada sebelah petang bagi memberi peluang kepada rakyat setempat mendengar amanat daripada pimpinan tertinggi gabungan berkenaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan