AM

KAPAL GSF SINGGAH SEMENTARA DI PERAIRAN GREECE, TURKIYE UNTUK PEMBAIKAN - SNCC

16/05/2026 10:17 PM

PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Kapal-kapal Global Sumud Flotilla (GSF) kini berada di perairan sekitar Greece dan Turkiye bagi kerja-kerja pembaikan sistem komunikasi serta enjin, kata Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.

Sany Araby dalam kenyataan malam ini berkata hentian teknikal itu, hanyalah bersifat sementara dan tidak melibatkan sebarang pendaratan aktivis ke daratan.

“Keadaan laut bergelora di laluan operasi turut menjadi antara faktor yang mempengaruhi pergerakan semasa kapal-kapal GSF. Kapal-kapal ini dijangka akan meneruskan semula pelayaran menuju ke Gaza pada 17 Mei selepas semua persiapan operasi selesai dilaksanakan," katanya.

Beliau dalam pada itu mengajak rakyat Malaysia untuk terus melaksanakan solat hajat, Qunut Nazilah dan munajat berterusan, demi keselamatan seluruh delegasi misi serta kejayaan usaha pembebasan Gaza.

“SNCC mengajak seluruh rakyat Malaysia bersatu hati untuk lakukan tindakan menggandakan usaha menyebarkan fakta dan sejarah yang sahih, menangkis propaganda jahat rejim serta meningkatkan kesedaran awam melalui semua platform media,” katanya.

Misi GSF kali ini melibatkan hampir 500 peserta antarabangsa daripada 45 negara yang digerakkan pelbagai kumpulan aktivis kemanusiaan dunia.

Sebarang pertanyaan rasmi berkaitan misi dan Palestin boleh dibuat dengan melayari portal rasmi tanya.sumudnusantara.com.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan