AM

WARISAN MANDI BUNGA TERUS MEKAR DI PASAR SITI KHADIJAH

17/05/2026 04:29 PM

Oleh Rohaiza Ab Rahman

KOTA BHARU, 17 Mei (Bernama) -- Ketika rawatan spa moden dan produk kecantikan berasaskan teknologi semakin menjadi pilihan, warisan mandi bunga yang sinonim dengan masyarakat Melayu terus mekar di Pasar Siti Khadijah, di sini, menerusi jualan bunga dan herba tradisional yang dipertahankan sejak beberapa generasi lepas.

Peniaga bunga mandian, Azizah Mohd Nor, 67, atau lebih dikenali sebagai Kak Zah, antara individu yang masih setia meneruskan legasi keluarganya di pasar ikonik itu sejak lebih 40 tahun lepas.

Kak Zah berkata perniagaan itu diwarisi daripada arwah ibunya yang suatu ketika dahulu menjual bunga secara kecil-kecilan dari rumah ke rumah termasuk kepada masyarakat Cina dan Siam untuk kegunaan ritual keagamaan dan adat tradisional.

“Apabila emak semakin dikenali sebagai penjual bunga, barulah emak mula berniaga di Pasar Siti Khadijah sebelum perniagaan ini diwariskan kepada Kak Zah hingga sekarang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya bunga segar seperti kenanga, cempaka, melur, kesidang, tanjung, mawar dan bunga cina antara yang paling mendapat permintaan kerana wangian semula jadinya selain sesuai digunakan untuk mandian bunga.

Kak Zah berkata meskipun zaman berubah dan pelbagai produk moden diperkenalkan, permintaan terhadap bunga dan herba tradisional terus meningkat terutama dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini.

“Bagi masyarakat Kelantan, Pasar Siti Khadijah memang cukup sinonim sebagai tempat mendapatkan bunga dan herba untuk pelbagai kegunaan. Ketika ini pelanggan saya bukan sahaja dari Kelantan, tetapi juga dari seluruh negara dan Singapura.

“Kalau dulu ramai gunakan bunga untuk tujuan adat dan ritual tertentu, kini lebih ramai beli untuk penjagaan kesihatan, kecantikan dan kesegaran badan,” katanya.

Kebanyakan bunga, katanya diperoleh daripada penduduk kampung sekitar dan dijual dalam bentuk set campuran bagi memudahkan pelanggan yang kurang arif mengenai jenis bunga sesuai untuk mandian.

Menurut Kak Zah, bunga yang dibeli juga sebaiknya tidak dihidu terlebih dahulu bagi mengekalkan wangian dan khasiat semula jadinya.

Seorang lagi peniaga, Mazura Mat Jusoh, 55, berkata dia menjalankan perniagaan bunga dan herba di pasar itu sejak 19 tahun lepas.

Pelanggannya terdiri daripada masyarakat tempatan, pelancong dan anggota beruniform yang membeli bunga dalam kuantiti besar.

“Permintaan semakin meningkat terutama pada musim cuti sekolah dan musim perayaan. Sebab itu saya bercadang membuka satu lagi cawangan di Pasir Puteh bagi memudahkan pelanggan tetap dari Terengganu mendapatkan bekalan bunga dan herba,” katanya.

Bagi pelanggan tetap, Wan Suzilawati Wan Yusof, 52, amalan mandi bunga bukan sekadar rutin tradisional, sebaliknya menjadi kaedah penjagaan diri yang diamalkan sejak sekian lama.

"Biasanya setiap bulan saya belanja lebih RM100 untuk beli bunga kerana saya beli dalam kuantiti banyak bagi kegunaan beberapa minggu. Mandi bunga buat badan rasa segar dan membantu menyerlahkan seri wajah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan