KOTA KINABALU, 17 Mei (Bernama) -- Bagi sesetengah individu di luar Sabah, Sugandoi mungkin sekadar pertandingan nyanyian biasa pada musim perayaan, namun hakikatnya ia adalah nadi penting yang menghidupkan semula bahasa warisan yang semakin dilupakan.
Penyanyi dan komposer tempatan Anna Stanislaus, 37, yang sering mengadili pertandingan Sugandoi, menyifatkan keistimewaan acara itu terletak pada upayanya mendidik peserta bertutur dan menyanyi dalam bahasa ibunda.
“Berbeza dengan pertandingan nyanyian lain, Sugandoi lebih memartabatkan lagu-lagu tempatan Sabah. Kami fokus kepada bahasa, terutamanya Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).
“Memandangkan generasi muda sekarang jarang yang fasih berbahasa ibunda, melalui pertandingan inilah mereka terpaksa mempelajari sebutan yang betul dan memahami apa yang mereka nyanyikan,” katanya kepada Bernama.
Berasal daripada Kidung Suci yang didendangkan oleh bobohizan atau pengamal kerohanian tradisional untuk memuja semangat pemberi rezeki, Sugandoi berevolusi menjadi pentas nyanyian berprestij dalam bahasa ibunda yang berlangsung semasa sambutan Pesta Kaamatan.
Pesta Kaamatan, yang disambut sepanjang bulan Mei setiap tahun dengan acara kemuncak pada 30 dan 31 Mei adalah perayaan tradisi masyarakat di Sabah sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian yang diperoleh, selain menjadi simbol perpaduan komuniti.
Penduduk Sabah terdiri daripada 33 kumpulan etnik peribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa serta 80 dialek etnik dan kumpulan etnik besar, antaranya Kadazan-Dusun, Bajau, Murut dan Rungus.
Anna berkata penghayatan adalah kriteria pemarkahan yang sangat besar, justeru tanpa pemahaman mendalam terhadap maksud bait-bait lirik, peserta tidak akan dapat menyampaikan roh lagu itu dengan baik.
Anak kelahiran Penampang yang pernah muncul juara carta lagu Kadazan Sabah VFM itu berkata pembahagian kategori pertandingan turut menjadikannya sebagai ruang pembelajaran bahasa merentas usia.
Pertandingan bagi kategori Terbuka (13 hingga 59 tahun), Dazanak (kanak-kanak 12 tahun ke bawah) dan Songkotoun (veteran 60 tahun ke atas) membuktikan kecintaan masyarakat terhadap budaya terus subur dinikmati semua generasi.
Pandangan Anna itu turut disokong pemenang Pertandingan Sugandoi peringkat daerah Putatan Beverly Angel Boris, 25, yang melihat penganjuran acara itu sebagai platform kelangsungan identiti bangsanya.
Gadis berketurunan Kadazan itu berkata Sugandoi memberi ruang kepada peserta muda sepertinya untuk mendalami dan menyampaikan penceritaan budaya melalui pelbagai genre lagu tempatan.
Semasa pertandingan di peringkat daerah itu, beliau berjaya memukau juri menerusi penghayatan mendalam ketika membawakan lagu bertajuk Vaza Piupusan yang membawa maksud sebuah kenangan.
“Sugandoi membolehkan kami menyampaikan budaya. Bagi saya, ia bukan hanya tentang kemenangan tetapi cara kami generasi muda membawakan semula bahasa dan cerita kami ke atas pentas,” luahnya.
Beverly berkata nilai utama pertandingan itu bukan sekadar pada nilai hiburan tetapi pada upayanya memastikan lenggok bahasa KDMR terus didengar dan dekat di hati generasi baharu.
Mula berjinak-jinak dalam dunia nyanyian sejak berusia lima tahun, beliau mengakui impian untuk menjejakkan kaki ke pentas akhir di Hongkod Koisaan telah mendorongnya menyertai pertandingan berprestij itu.
Sebagai wakil Putatan, Beverly bakal menggalas cabaran bersaing dengan juara-juara lain di peringkat negeri yang dijadualkan pada acara kemuncak Pesta Kaamatan akhir bulan ini.
-- BERNAMA
