SUKAN

PIALA DUNIA SEPAK TAKRAW: SKUAD KUADRAN NEGARA TEWASKAN INDIA 2-1, MARA KE SUKU AKHIR

18/05/2026 12:44 AM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Skuad kuadran negara menebus kekalahan kepada Korea Selatan dengan menewaskan India 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan C untuk menempah slot ke suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026. 

Meskipun ketiga-tiga pasukan dalam Kumpulan C, iaitu Malaysia, India dan Korea Selatan mencatat dua kemenangan, Malaysia dan India layak ke suku akhir selepas kedua-dua pasukan memiliki kelebihan dari segi pungutan mata keseluruhan. 

Pada aksi di Stadium Titiwangsa yang mendapat sokongan padu penonton malam ini, pasukan negara dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman Azwawi bergelut untuk menewaskan India diwakili Ram Kumar Sharma, Yunam Akash, Bobby Kumar dan Sorokhaibam Malemnganba Singh. 

Kesilapan servis yang dilakukan Aidil pada set pertama merencatkan pungutan mata skuad negara sebelum tewas 15-13 kepada India. 

Aksi pada set kedua semakin mendebarkan apabila kedua-dua pasukan saling memburu mata sebelum Malaysia menang 17-15 yang membawa kepada set penentuan. 

Skuad negara tampil cemerlang untuk mendominasi set ketiga dengan kemenangan 15-10.

Sementara itu, kapten pasukan Amirul Zazwan berkata skuad negara belajar daripada kesilapan pada set pertama untuk bangkit memenangi set kedua dan ketiga dalam misi memburu slot ke suku akhir. 

“Ini perlawanan hidup mati kami sebab pagi tadi kami kalah kepada Korea Selatan. Jadi, kami memang nak menang.

“Kami dah cuba pada set pertama tapi kami banyak membuat kesalahan yang tak sepatutnya. Kami bangkit pada set kedua dan set penentuan. Alhamdulillah, malam ini boleh menang dengan India,” katanya selepas perlawanan itu. 

Dalam satu lagi aksi Kumpulan C, Korea Selatan mengecewakan Singapura 2-0. 

Selaku naib juara Kumpulan C, Malaysia dijangka bertemu juara Kumpulan B esok. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan