KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) hari ini mencadangkan penambahbaikan terhadap Pasaran LEAP Bursa Malaysia.
Langkah itu bertujuan meningkatkan akses pembiayaan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan menyokong pertumbuhan melalui ekosistem pasaran modal Malaysia.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, SC dan Bursa Malaysia memaklumkan inisiatif Pasaran LEAP 2.0 akan memperkukuh cadangan nilai untuk platform bagi memudahkan pengumpulan dana lebih lancar daripada pasaran swasta kepada awam bagi perniagaan kecil dan syarikat peringkat pertengahan (MTC).
Inisiatif itu turut menyokong objektif di bawah Pelan Induk Pasaran Modal SC 2026-2030 (CMP) dan sejajar dengan pelan hala tuju SC Memangkin Akses bagi PMKS dan MTC kepada Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju 5 Tahun (2024-2028).
Pada masa sama, ini turut melengkapi agenda pembangunan PMKS dan MTC kebangsaan.
Menurut kenyataan bersama itu, cadangan penambahbaikan ini dilaksanakan susulan pengumuman mengenai Pasaran LEAP 2.0 oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Mac 2026.
Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata inisiatif itu merupakan langkah utama dalam membina pasaran modal yang lebih inklusif bagi PMKS dan MTC di bawah CMP.
“Usaha ini memperkukuh mekanisme peningkatan pendanaan secara berperingkat, mengurangkan kos, sambil meningkatkan akses kepada modal pertumbuhan melalui persekitaran kawal selia yang lebih memudahkan,” katanya.
“Setakat ini, satu penerbit ECF (pendanaan ekuiti ramai) telah beralih ke Pasaran LEAP manakala 10 syarikat tersenarai di Pasaran LEAP telah berganjak ke Pasaran ACE, (sekali gus) mencerminkan potensi pembentukan saluran syarikat yang lebih kukuh dan mampan dalam meneruskan perkembangan melalui pasaran modal,” katanya.
Beliau berkata menerusi pelbagai syarikat berpotensi bagi tujuan pengumpulan dana melalui pasaran modal dengan kira-kira sejumlah 8,500 MTC, cadangan itu membolehkan laluan penyenaraian lebih jelas dan lancar untuk MTC dan PMKS.
Cadangan di bawah Pasaran LEAP 2.0 termasuk laluan pengumpulan dana alternatif untuk syarikat dibiayai ECF dan disokong modal teroka (VC)/ekuiti persendirian (PE); dokumen pendedahan dipermudahkan, penyertaan pelaburan yang lebih luas, pembayaran berasaskan saham kepada penasihat dan pemindahan lancar dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata cadangan penambahbaikan ini memperkukuh peranan Pasaran LEAP sebagai titik masuk penting ke pasaran awam bagi PMKS dan MTC.
Beliau berkata penambahbaikan ini memperkenalkan penambahan fleksibiliti dalam laluan kemasukan, pendedahan yang lebih diperkemas dan penyertaan pelabur yang lebih luas.
“Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini bertujuan menyokong PMKS dan MTC ketika mereka menyertai dan berkembang melalui pasaran modal sambil memperkukuh pembentukan modal, memperkukuh kedalaman dan ketelusan pasaran dan mengekalkan piawaian perlindungan pelabur yang sesuai untuk pasaran yang layak,” katanya.
Dalam pada itu, Bursa Malaysia telah menerbitkan kertas rundingan awam hari ini untuk mendapatkan maklum balas awam mengenai penambahbaikan dicadangkan terhadap Pasaran LEAP 2.0.
Sebarang pandangan dan maklum balas orang ramai mengenai pindaan yang dicadangkan kepada Keperluan Penyenaraian Pasaran LEAP dan Pasaran ACE boleh dibuat melalui pautan https://www.bursamalaysia.com/regulation/public_consultation.
Rundingan awam berkenaan ditutup pada 15 Jun, 2026.
-- BERNAMA
