AM

CCTV BENTENG TERBAIK TANGANI KES BULI DI PUSAT JAGAAN, RUMAH PELINDUNG

19/05/2026 08:00 PM

MELAKA, 19 Mei (Bernama) -- Penetapan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai antara syarat utama yang wajib dipatuhi oleh pusat jagaan dan rumah pelindung dilihat mampu menjadi benteng terbaik dalam menangani kejadian buli, selain memastikan pemantauan terhadap penghuni dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata penggunaan CCTV bukan sahaja bertujuan memantau keadaan di premis berkenaan, malah bertindak sebagai langkah pencegahan kerana penghuni dan petugas menyedari setiap pergerakan berada di bawah pemerhatian.

Beliau berkata selain pemasangan CCTV, petugas pusat jagaan dan rumah pelindung juga perlu sentiasa melakukan pemantauan serta rondaan berkala bagi mengurangkan risiko kejadian buli.

“Yang paling penting, jika ada mangsa buli, mereka mesti tampil membuat aduan kepada petugas atau warga rumah pelindung supaya tindakan segera dapat diambil. Jika kami menerima laporan, kami akan pastikan pemantauan dilakukan dengan betul dan menyeluruh,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas melawat Rumah Kasih Tun Abdul Aziz di Durian Daun di sini sempena lawatan kerja ke Melaka selama dua hari.

Lim ketika mengulas mengenai isu taman asuhan kanak-kanak (TASKA) tidak berdaftar berkata semua TASKA diwajibkan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memastikan pusat berkenaan mematuhi garis panduan serta syarat ditetapkan.

Beliau berkata pihaknya sentiasa menjalankan pendekatan advokasi dan turun padang untuk mendekati pengusaha TASKA yang belum berdaftar supaya mereka tampil mendapatkan kelulusan rasmi.

“Kami akan mendekati pengusaha ini dan meminta mereka mendaftar, mengikut syarat serta garis panduan yang ditetapkan oleh kementerian. Bagaimanapun, jika mereka masih enggan berdaftar, kami berhak menjalankan pemantauan dan menutup TASKA berkenaan selepas proses pembuktian dilakukan,” katanya.

Lim berkata proses pemutihan juga dilakukan secara berterusan sekurang-kurangnya dua kali setahun sebagai usaha memastikan tiada pelanggaran piawaian dan undang-undang berlaku.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan