Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit pada Selasa apabila pelabur mengambil pendekatan lebih defensif susulan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak serta sentimen risiko serantau yang lemah.
Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.44 mata atau 0.03 peratus kepada 1,727.27 daripada paras 1,727.71 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu yang dibuka 5.17 mata lebih tinggi pada 1,732.88 bergerak antara 1,726.13 dan 1,734.32 sepanjang dagangan hari ini.
Sentimen pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 618 berbanding 509, manakala 610 kaunter tidak berubah, 967 tidak diniagakan dan 15 digantung.
Jumlah dagangan lebih rendah 3.36 bilion unit bernilai RM3.24 bilion berbanding 3.51 bilion unit bernilai RM2.84 bilion pada Isnin.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI turut dipengaruhi tekanan jualan yang tertumpu dalam beberapa kaunter berwajaran tinggi terpilih.
“Sentimen pasaran turut terjejas susulan inflasi keseluruhan Malaysia bagi April meningkat kepada 1.9 peratus tahun ke tahun berbanding 1.7 peratus sebelum ini, sekali gus mengukuhkan kebimbangan terhadap tekanan kos yang masih berterusan serta potensi penyederhanaan momentum permintaan pengguna.
“Bagaimanapun, tekanan penurunan sebahagiannya diimbangi prestasi kukuh sektor peruncitan apabila beberapa kaunter melonjak selepas mencatat keputusan suku pertama 2026 lebih baik daripada jangkaan, disokong trend perbelanjaan yang kekal berdaya tahan serta pengembangan margin,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, beliau berkata pelabur asing kekal sebagai penjual bersih bagi lima sesi dagangan berturut-turut setakat semalam, mencerminkan sikap berhati-hati berterusan terhadap faktor luaran serta penstrukturan semula portfolio dalam keadaan ketidaktentuan makroekonomi dan geopolitik global yang tinggi.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran masih dibatasi harga minyak mentah yang tinggi, ketegangan geopolitik di Asia Barat yang belum reda, ketidaktentuan mengenai kadar faedah Amerika Syarikat serta kebimbangan terhadap inflasi global.
“Meskipun penurunan harga minyak mungkin memberi sedikit kelegaan kepada sentimen pasaran dalam jangka pendek, pelabur dijangka kekal berhati-hati dan lebih selektif sehingga terdapat kejelasan lebih baik mengenai perkembangan luaran,” katanya.
Beliau menjangkakan indeks penanda aras kekal bergerak dalam julat tertentu dalam tempoh terdekat apabila aktiviti membeli saham pada harga rendah mungkin muncul ketika pasaran lemah, namun momentum kenaikan dijangka kekal terhad berikutan persekitaran luaran yang berhati-hati.
“Kami menjangkakan indeks penanda aras bergerak dalam julat 1,720 hingga 1,750 bagi baki minggu ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional meningkat lapan sen kepada RM14.52, CIMB naik empat sen kepada RM7.84, Public Bank susut empat sen kepada RM4.79, IHH Healthcare turun lima sen kepada RM9.00, manakala Maybank tidak berubah pada RM11.08.
Bagi saham paling aktif, Oppstar merosot 10.5 sen kepada 82.5 sen, TT Vision meningkat satu sen kepada 35 sen, GIIB naik tiga sen kepada 33.5 sen, Zetrix AI turun setengah sen kepada 83.5 sen dan Genetec Technology susut dua sen kepada 32.5 sen.
Antara kaunter untung utama, Ajinomoto meningkat 48 sen kepada RM12.88, Kuala Lumpur Kepong menambah 36 sen kepada RM20.56, Sunway Construction dan Dutch Lady Milk Industries masing-masing melonjak 20 sen kepada RM7.30 dan RM33, manakala Batu Kawan naik 18 sen kepada RM20.88.
Bagi kaunter rugi utama, UMS Integration susut 42 sen kepada RM7.98, Nestle turun 36 sen kepada RM95.04, Petronas Dagangan kehilangan 34 sen kepada RM19.20, manakala Hong Leong Industries dan Hong Leong Bank masing-masing merosot 28 sen kepada RM18.20 dan RM21.70.
Pada papan indeks, Indeks FBM Emas susut 1.07 mata kepada 12,803.70, Indeks FBMT 100 turun 2.66 mata kepada 12,640.08, Indeks FBM Mid 70 merosot 1.59 mata kepada 18,375.92, Indeks FBM Emas Shariah berkurang 13.91 mata kepada 12,735.16 dan Indeks FBM ACE susut 13.46 mata kepada 4,706.59.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 13.02 mata kepada 8,620.94, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.79 mata kepada 198.87, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 35.34 mata kepada 20,083.06 dan Indeks Tenaga turun 4.02 mata kepada 803.05.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurang kepada 1.67 bilion unit bernilai RM2.74 bilion berbanding 1.80 bilion unit bernilai RM2.45 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran susut kepada 831.30 juta unit bernilai RM108.30 juta daripada 1.02 bilion unit bernilai RM135.05 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 853.98 juta unit bernilai RM394.67 juta berbanding 684.71 juta unit bernilai RM254.32 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 246.26 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (374.02 juta), pembinaan (131.97 juta), teknologi (248.0 juta), perkhidmatan kewangan (57.54 juta), hartanah (178.79 juta), perladangan (39.90 juta), amanah pelaburan hartanah (16.58 juta), dana tertutup (55,200), tenaga (117.34 juta), penjagaan kesihatan (118.11 juta), telekomunikasi dan media (50.57 juta), pengangkutan dan logistik (38.75 juta), utiliti (51.68 juta) serta amanah perniagaan (296,800).
-- BERNAMA
