EKONOMI

LABUAN IBFC INC, ASAS BEKERJASAMA ANJUR PERKONGSIAN ILMU BERKAITAN KEWANGAN ISLAM

21/05/2026 07:25 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Labuan IBFC Incorporated Sdn Bhd (Labuan IBFC Inc) bekerjasama dengan Persatuan Penasihat Syariah Kewangan Islam Malaysia (ASAS) menganjurkan sesi perkongsian ilmu yang mengetengahkan peluang dalam kewangan Islam.

Labuan IBFC Inc, agensi pemasaran rasmi bagi Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) berkata sesi perkongsian ilmu itu merangkumi teknologi kewangan patuh Syariah, penyelesaian insurans captive serta pengurusan kekayaan rentas sempadan dalam Labuan IBFC.

“Acara hibrid itu menghimpunkan profesional kewangan Islam dan penasihat Syariah dari Malaysia serta luar negara untuk meneroka kelebihan Labuan IBFC sebagai hab perniagaan global yang menawarkan penyelesaian kewangan Islam.

“Peserta turut memperoleh pandangan mengenai pecutan digital dalam kewangan Islam serta struktur kewangan inovatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ASAS Makhtar Abdullah berkata masa depan kewangan Islam bukan sahaja bergantung kepada produk dan peraturan, malah turut dipacu oleh kualiti, integriti serta komitmen tenaga kerja dan bakat yang menerajui industri itu.

“Justeru, saya berharap program ini menjadi pemangkin yang memberi inspirasi kepada semua ahli ASAS untuk terus menyumbang pengetahuan dan kepakaran Syariah dalam memperkukuh ekosistem kewangan Islam,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC Inc Ben Quah berkata rangka kerja kewangan Islam yang kukuh berjaya meletakkan Labuan IBFC sebagai antara hab global utama dalam sektor berkenaan.

“Sehubungan itu, kami yakin kerjasama dengan ASAS ini akan terus mempercepat dan memajukan agenda kewangan Islam,” katanya.

Labuan IBFC berkata acara itu dimulakan dengan pembentangan bertajuk “Introduction to Labuan IBFC - Asia’s Premier International Financial Hub”, yang memberi gambaran menyeluruh Labuan IBFC serta bagaimana perniagaan boleh memanfaatkan kelebihan strategik zon ekonomi itu bagi pengembangan rentas sempadan.

“Sesi utama memberi tumpuan kepada Pusat Aset Digital Islam (IDAC). Pembentangan itu meneliti bagaimana inisiatif IDAC Labuan IBFC memacu kewangan digital Islam melangkaui Labuan IBFC, termasuk peluang baharu dalam perbankan digital, inovasi teknologi kewangan dan perkhidmatan kewangan digital secara lebih meluas,” katanya.

Menurutnya, sesi perkongsian itu dianjurkan itu susulan kerjasama strategik menerusi memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai antara Labuan IBFC Inc dan ASAS.

Maklumat lanjut mengenai Labuan IBFC serta penyelesaian kewangan Islamnya boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.labuanibfc.com.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan