KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi rantau Asia Pasifik meningkat 3.3 peratus pada 2025, mengatasi unjuran awal sebanyak 3.2 peratus, menurut Unit Sokongan Dasar (PSU) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Bagaimanapun, kadar pertumbuhan dijangka menyederhana kepada 3.1 peratus pada tahun ini dan terus perlahan kepada 3.0 peratus pada 2027, apabila pengembangan output merosot di lebih separuh ekonomi APEC, menurut badan penyelidikan dan analisis dasar itu dalam laporan terbaharunya.
Laporan APEC Regional Trends Analysis Mei 2026 menyatakan prospek yang lebih lemah itu berpunca daripada gangguan di Timur Tengah, yang mendorong lonjakan harga minyak sebanyak 52.8 peratus sejak Februari 2026 kepada US$103.90 setong pada Mac, berbanding US$68 setong sebelumnya.
Lonjakan itu sekali gus mengganggu rantaian bekalan global termasuk perkapalan dan logistik serta menaikkan harga makanan di seluruh rantau.
Pengarah PSU APEC Carlos Kuriyama berkata rantau ini memasuki 2026 dengan daya tahan jangka pendek yang masih kukuh, namun, susulan kejutan harga tenaga, kelemahan permintaan, gangguan rantaian bekalan yang semakin meluas serta ruang dasar yang semakin terhad untuk bertindak balas terhadap kejutan ekonomi memberi tekanan kepada prospek pertumbuhan sederhana.
“Isi rumah dan perniagaan adalah pihak yang paling terkesan,” katanya dalam kenyataan bersempena penerbitan laporan itu hari ini.
Laporan itu turut menyatakan minyak dan gas merangkumi 49 peratus daripada campuran tenaga APEC, dengan rantau itu mengimport lebih 45 peratus minyak mentah dan 23 peratus gas dari Timur Tengah, sekali gus menjadikan bekalan tenaga lebih terdedah kepada risiko geopolitik dan gangguan bekalan.
Penganalisis PSU Rhea C. Hernando berkata tekanan itu turut melibatkan aspek keterjaminan makanan, apabila pengeluaran makanan berkemungkinan terjejas memandangkan APEC mengimport 27 peratus baja berasaskan nitrogen dari Timur Tengah.
“Seiring kenaikan harga bahan api dan gangguan perkapalan, harga makanan turut meningkat dengan ketara di seluruh rantau ini, dengan minyak sayuran, bijirin dan daging mencatat kenaikan paling tinggi setakat April 2026,” katanya.
Menurut laporan itu, pemecahan perdagangan dilihat semakin ketara seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan mendadak dalam bilangan langkah sekatan perdagangan seperti tarif dan remedi perdagangan.
“Perkembangan ini telah menyumbang kepada kemerosotan prospek perdagangan, dengan pertumbuhan dalam jumlah eksport barangan diunjurkan merosot dengan ketara kepada 3.3-3.7 peratus antara 2026 dan 2028 daripada 7.6 peratus yang kukuh, dicatatkan pada 2025," katanya.
Laporan itu juga menyatakan bahawa kesan kumulatif gangguan ekonomi yang bertindih ini menyumbang kepada inflasi.
Meskipun tekanan harga dijangka meningkat di seluruh rantau APEC, dengan inflasi purata diunjurkan meningkat daripada 2.4 peratus pada 2025 kepada 2.9 peratus pada 2026, rantau ini dijangkakan masih kekal jauh di bawah purata global iaitu 4.4 peratus.
“Prospek ini mengetengahkan daya tahan relatif ekonomi APEC dan kepentingan kerjasama serantau yang berterusan serta pembuatan dasar yang tangkas bagi menyokong kestabilan dan pertumbuhan,” katanya.
Kuriyama berkata kos sara hidup yang lebih tinggi bagi keluarga, margin perniagaan yang semakin mengecil, pertumbuhan pekerjaan yang lebih perlahan dan ketidaktentuan ekonomi yang semakin meningkat sudah mula dirasai di seluruh rantau itu.
“Ditambah dengan peningkatan hutang awam, yang bermaksud ekonomi mempunyai ruang terhad untuk menyerap kejutan selanjutnya, menjadikan kerjasama dalam keselamatan tenaga, daya tahan perdagangan dan kestabilan fiskal bukan sahaja bermanfaat tetapi sangat penting," katanya.
Di tengah-tengah pelbagai cabaran itu, laporan itu mencadangkan supaya anggota APEC memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dengan memanfaatkan platform digital dan memperluaskan laluan serta perkhidmatan rantaian bekalan, mempelbagaikan sumber tenaga dan melabur dalam infrastruktur, serta meneruskan sokongan praktikal kepada isi rumah dan perniagaan yang terjejas.
“Melalui kerjasama ekonomi yang lebih mendalam, APEC dapat membantu meminimumkan kesan tekanan ini dan meneruskan kemakmuran bersama di seluruh rantau Asia Pasifik,” kata laporan itu.
APEC ialah forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989, bagi memanfaatkan peningkatan saling kebergantungan di rantau Asia Pasifik.
-- BERNAMA
