GEORGE TOWN, 22 Mei (Bernama) – Kemajuan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan ancaman siber kini menjadi cabaran terbesar industri keselamatan sekali gus menuntut transformasi menyeluruh terhadap peranan dan profesionalisme pengawal atau pegawai keselamatan.
Pengerusi Penang Security Practitioners Association (PENSEC) Muhammad Shafiq Muraly Abdullah berkata penggunaan AI yang semakin meluas dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi di Pulau Pinang meningkatkan risiko keselamatan, khususnya melibatkan pengurusan data dan aset bernilai tinggi.
Beliau berkata banyak syarikat dan kilang di Pulau Pinang kini bergerak ke arah AI dan membangunkan pelayan atau server bernilai tinggi serta sistem penyimpanan data bernilai tinggi, justeru risiko keselamatan juga semakin meningkat.
“Jadi, latihan dan kemahiran dalam bidang keselamatan menjadi sangat penting bagi pegawai atau pengawal keselamatan manakala teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan AI juga mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manusia.
“Namun, ia tidak akan menggantikan sepenuhnya peranan pengawal keselamatan” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat dan Makan Malam Tahunan PENSEC yang dirasmikan Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo di sini malam tadi.
Muhammad Shafiq berkata pengawal keselamatan hari ini bukan lagi sekadar menjaga pintu masuk atau mengawal palang, sebaliknya mengendalikan sistem pengurusan pelawat, pemantauan premis, dokumentasi keselamatan dan pelbagai operasi kritikal lain.
Sementara itu, beliau berkata syarikat khususnya dalam sektor perkilangan dan logistik kini cenderung mengambil pekerja warga Nepal sebagai pengawal keselamatan berikutan tahap disiplin dan komitmen kerja yang tinggi.
Beliau berkata pekerja Nepal dilihat lebih konsisten dari segi kehadiran dan disiplin berbanding sebahagian pekerja tempatan, bagaimanapun masih terdapat syarikat yang memilih pekerja tempatan, terutamanya bagi mengatasi isu komunikasi.
Muhammad Shafiq turut menggesa masyarakat agar mengubah persepsi terhadap kerjaya dalam bidang keselamatan sebagai pekerjaan berstatus rendah kerana lulusan universiti kini boleh membina kerjaya sebagai pengurus atau eksekutif keselamatan dengan gaji kompetitif.
“Ada pengurus keselamatan, khususnya di syarikat multinasional menerima gaji antara RM13,000 hingga RM15,000 sebulan kerana nilai aset dan operasi yang mereka lindungi sangat tinggi,” katanya.
PENSEC yang ditubuhkan pada 2001 kini mempunyai hampir 200 ahli aktif, memainkan peranan penting memperkasakan profesionalisme industri keselamatan menerusi latihan, pembangunan kemahiran dan pendedahan teknologi baharu kepada pegawai keselamatan merentasi pelbagai sektor.
PENSEC mengendalikan latihan berkualiti tinggi khusus untuk sektor pembuatan dan rantaian bekalan di Pulau Pinang dengan lebih 2,500 pegawai keselamatan telah menerima manfaat sekali gus membantu meningkatkan kemahiran serta prospek kerjaya mereka.
-- BERNAMA
