AM

USAHA PERKASA WANITA PELABURAN PENTING MASA DEPAN - TUNKU PUTERI INTAN SAFINAZ

23/05/2026 02:04 PM

AYER HITAM, 23 Mei (Bernama) -- Usaha memperkasakan wanita harus dilihat sebagai pelaburan penting untuk masa depan masyarakat, titah Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Baginda bertitah kekuatan sesebuah komuniti sering bermula dari rumah, dan wanita bukan sahaja memainkan peranan sebagai penjaga keluarga, malah sebagai pembina komuniti dan penggerak perubahan sosial. 

"Dalam kebanyakan rumah, terdapat wanita-wanita yang bekerja keras setiap hari, kadangkala tanpa disedari, tanpa dipuji, namun terus berkorban demi memastikan keluarga mereka terus bertahan dan melangkah ke hadapan. 

"Ada yang berniaga kecil-kecilan dari dapur rumah, ada yang memulakan kehidupan dengan serba kekurangan. Ada yang pernah jatuh dan kehilangan keyakinan diri, namun mereka tetap bangkit semula demi anak-anak, demi keluarga, dan demi masa depan yang lebih baik," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Program Hari Kesejahteraan Komuniti Women of Will (WOW) dan Yayasan Hasanah di Dewan Komuniti PPR Sri Jerlun di sini hari ini, yang turut dihadiri Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Siti Kamariah Ahmad Subki dan Presiden WOW Datin Wira Goh Suet Lan.

Tunku Puteri Intan Safinaz turut menghargai peranan WOW dan Yayasan Hasanah yang menjadi rakan strategik penting dalam membuka ruang dan peluang kepada lebih ramai komuniti untuk dibangunkan secara mampan dan bermaruah. 

"Beta ingin merakamkan penghargaan kepada WOW atas usaha yang sangat bermakna dalam membina dan memperkukuh komuniti melalui pelbagai program pembangunan wanita dan keluarga, khususnya di Kedah," titah baginda. 

Sementara itu, Goh berkata kejayaan jangka panjang organisasi itu dicapai hasil kolaborasi kukuh bersama Yayasan Hasanah yang melangkaui aspek pembiayaan semata-mata, sebaliknya memberikan fokus kepada pembangunan akar umbi yang mampan.

"WOW mula memperluas usaha di Kedah pada 2021 menerusi penilaian komuniti dan sesi libat urus bagi mengenal pasti keperluan utama melibatkan intervensi kemiskinan, penyertaan ekonomi wanita, pembangunan keusahawanan dan daya tahan komuniti," katanya.

Sehingga kini, WOW telah menyokong lebih 150 usahawan wanita di tujuh komuniti di Kedah serta membangunkan 21 pemimpin wanita komuniti, manakala di seluruh negara ia berjaya memperkasakan lebih 2,900 usahawan wanita dan lebih 110 pemimpin komuniti di lebih 45 komuniti di Lembah Klang, Kedah dan Sabah.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan